Pelampau politik: Rasionalisasi baharu penjajahan minda

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor memandang serius isu pelampau atau juga dikenali sebagai jerung politik. Dalam bahasa mudah difahaminya pelampau politik adalah individu atau kumpulan yang sanggup lakukan apa sahaja demi mencapai agenda politik mereka. PAS Negeri Johor melihat ideologi dan sentimen ini sedang dikembangkan dengan luasnya oleh parti-parti dan individu-individu tertentu.

Politik adalah pentas mulia untuk individu atau parti-parti politik mengemukakan dan mengembangkan idea pentadbiran atau cara pengurusan negara andai mereka dipilih dalam pilihan raya oleh rakyat jelata. Sepatutnya ia menjadi suatu seni yang menyatukan dan mendamaikan bukan racun meruntuhkan institusi politik tanah air.

- Advertisement -

Kaedah dan cara yang digunakan oleh pelampau atau jerung politik ini akan merosakkan dengan mewujudkan banyak idea-idea biadab dan tidak bertamadun hanya untuk memenuhi tembolok politik parti dan mereka. Kesanggupan melakukan apa sahaja tanpa mengira batas dan had-had nusa serta adat dan adab ketimuran yang menjadi amalan rakyat Malaysia bakal melahirkan manusia-manusia tanpa adab dan adat. Mencipta generasi-generasi yang tidak lagi bertamadun Timur. Membentuk kelompok-kelompok yang ekstrem politik dan tidak beretika.

Pelampau dan jerung politik ini jika tidak diuruskan atau dihalang aktiviti mereka akan juga melahirkan ramai di kalangan rakyat Malaysia yang benci politik. Mereka melihat politik sebagai ejen memusnahkan dan menidakkan perpaduan. Politik juga akan dinampakkan sebagai ancaman seterusnya mereka akan menjadikan politik dan orang politik sebagai musuh. Jika ini berlaku ruang politik akan menjadi semakin sempit dan membosankan. Tiada lagi kompromi akhirnya negara akan dipenuhi perakus-perakus politik yang meratah serta menjarah apa yang lalu di dihadapan mereka.

PAS Negeri Johor menyeru kepada semua rakyat Malaysia khususnya bangsa Johor untuk mengenalpasti jerung atau pelampau politik ini. PAS Negeri Johor juga meminta supaya kita dan semua menolak gaya politik dan mereka yang memperguna politik jenis ini. Perpaduan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan. Politik seharusnya dijadikan alat untuk menyatukan, mendamaikan dan mengharmonikan rakyat yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa. Keindahan dan keunikan ini harus dipertahankan hari ini dan sampai bila-bila pun. Jangan pernah ada sesiapa pun dibenarkan untuk menjadi pelampau atau jerung politik. 

PAS Negeri Johor berkeyakinan dengan kematangan dan kewarasan berpolitik rakyat Malaysia, pelampau-pelampau ini tidak mungkin mendapat tempat malahan akan di tolak di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) anjuran PAS adalah satu elemen yang mesti digunapakai bukan sahaja pimpinan-pimpinan PAS tetapi oleh semua yang ingin terlibat dalam politik.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -