Kempen Smile Dates PASRelief santuni ‘frontliner’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kempen Smile Dates dianjur PASRelief sebagai usaha menyantuni petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kurma yang diagihkan pada program berkenaan merupakan hasil pembelian orang ramai melalui kempen Smile Dates. Sebahagian sumbangan itu juga disalurkan ke dalam Tabung Kemanusian PASRelief.

Pengagihan sumbangan itu diketuai Pengarah PASRelief Ustaz Mohd Yusni Mat Piah kepada petugas barisan hadapan di Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Pudu dan Balai Polis Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur serta Jabatan Pertahanan Awam kelmarin.

Mohd Yusni berkata, program itu merupakan kempen terbaru PASRelief sempena Ramadan bagi menyantuni ‘frontliner’ yang masih memerah keringat mengekang penularan Covid-19.

- Advertisement -

“Pengagihan kurma Smile Dates kali ini dianggap lebih bermakna sebagai menyatakan kebersamaan dengan petugas barisan hadapan,” katanya di sini.

PASRelief juga masih membuka pembelian kurma bagi menjayakan Kempen Smile Dates kepada orang ramai yang berminat.

NGO itu berharap umat Islam tidak mengsia-siakan pahala sedekah di bulan Ramadan yang hanya berbaki kurang 15 hari lagi.

Sementara itu PASRelief turut mengambil langkah menggerakkan Tabung Bantuan Kebakaran Rohingya yang melanda kem pelarian di Bangladesh baru-baru ini.

PASRelief mendirikan tempat perlindungan kepada enam keluarga besar yang terjejas akibat kebakaran tersebut.

“Semoga berkat bulan Ramadan ini, Allah hadirkan sinar baharu buat mereka. Dan semoga Allah permudahkan dermawan untuk terus menyumbang bagi Tabung Kemanusiaan PASRelief,” kata kenyataan badan itu.

Baru-baru ini sebuah kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar terbakar sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 50,000 pelarian kehilangan tempat tinggal.

Kebakaran paling besar yang melanda kawasan penempatan pondok itu turut meragut banyak nyawa.

Hampir sejuta penduduk Islam yang ditindas di Myanmar melarikan diri ke Bangladesdh pada 2017 dan kini ditempatkan di kem-kem di tenggara daerah Cox’s Bazar. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -