Sokongan meningkat, Kerajaan PN absah dan stabil

- Advertisement -

PEMUDA Perikatan Nasional mengucapkan syabas dan tahniah kepada pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional di atas kejayaan mengemudi negara seterusnya menampilkan keabsahan dan kestabilan negara.

Justeru, peningkatan sokongan dilihat meningkat bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga dukungan bukan-Melayu meningkat secara relatif sebagai bukti mereka yakin dengan citra Perikatan Nasional yang mewakili rakyat yang majmuk pelbagai kaum.

Perkara ini terbukti apabila tinjauan yang dilakukan oleh Merdeka Center yang mendapati 67 peratus pengundi di Semenanjung Malaysia berpuas hati dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dapatan ini terhasil daripada sokongan orang Melayu yang tinggi sekitar 83 peratus selain sokongan bukan-Melayu yang meningkat dari masa ke masa. 

- Advertisement -

Hasil kajian ini dilihat mampu menjadi ukuran semasa untuk mengetahui sentimen rakyat kepada Kerajaan Perikatan Nasional. Tinjauan terhadap pengundi di beberapa kawasan mendapati ramai yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding pemimpin lain bagi menggalas tugas sebagai Perdana Menteri.

Kejayaan peningkatan sokongan kepada kerajaan adalah kerana kepimpinan ini dilihat berjaya mendepani wabak COVID-19 yang melanda negara dengan baik apabila berjaya mengimbangi keperluan menyelamatkan nyawa rakyat di samping memastikan kelestarian ekonomi terus berjalan lancar.

Pemuda Perikatan Nasional yakin dan komited untuk terus bekerja bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat khususnya di kalangan generasi muda untuk terus bersama-sama Perikatan Nasional melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN 
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -