Muslimat tingkatkan penghayatan Islam Orang Asal

- Advertisement -

TEMERLOH: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Muslimat PAS Kawasan Temerloh telah mengadakan program kebajikan masyarakat Orang Asal di Kampung Paya Mengkuang dan Paya Badak, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program yang juga bertujuan menyemarakkan Ramadan ini bertujuan menyantuni warga penduduk setempat dalam kalangan Orang Asal menerusi pemberian sumbangan berupa kit barangan dapur.

Pengerusi LPN Muslimat PAS Temerloh, Zakiah Derani berkata, program ini membolehkan pihaknya mendekati Orang Asal, beramah mesra dengan mereka di samping dapat mengajarkan Islam lebih mendalam.

“Selain daripada memberi sumbangan berupa barang makanan, mereka juga disajikan dengan program ilmiah yang diberi penekanan mengenai akidah terhadap Islam,” ujar beliau.

Tazkirah telah disampaikan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Morsidah Mohd Amin yang mengingatkan mereka mengenai zikir di bulan Ramadan dan memohon keampunan serta menghayati akidah.

Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor yang menegaskan bahawa keprihatinan PAS adalah meluas meliputi semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Walaupun PAS sebuah parti Islam, tetapi tidak pernah mengabaikan kaum lain atau agama lain. Di mana ada ruang dan peluang, PAS akan membantu dan mengharap mereka mendekati dam menyelami PAS dengan lebih dekat.

“Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi akan datang dan Muslimat Temerloh sentiasa prihatin kepada Orang Asal di sini terutama memberi penekanan jelas mengenai Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -