Pihak sekolah, IPT digesa peka pematuhan SOP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi digesa agar sentiasa peka dan mengambil tindakan berjaga-jaga serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sebaiknya.

- Advertisement -

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah bertindak mengendalikan isu penularan wabak ini dengan baik dan terancang.

“Pihak sekolah sewajarnya memastikan SOP seperti penjarakan sosial di dalam kelas, memakai pelitup muka semasa berada di kawasan sekolah tiada sentuhan fizikal ketika berinteraksi.

“Para pentadbir sekolah pula perlu memberi kelonggaran kepada guru yang bergejala untuk tidak hadir ke sekolah bagi menghindarkan penularan penyakit berkenaan ke atas pelajar,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, KPM telah mendapat kerjasama yang baik daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam penentuan pengoperasian sesebuah sekolah sebelum keputusan menutupnya dengan merujuk data-data semasa serta penilaian risiko kebolehjangkitan wabak terbabit.

Selain itu jelasnya lagi, para ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa mengambil berat tentang kesihatan anak-anak sebelum hadir ke sekolah.

“Sekiranya mereka sendiri merasa tidak sihat untuk berkerja, maka mereka perlu mendapatkan rawatan segera kerana wabak ini mudah terjangkit kepada ahli keluarga.

“Apabila anak-anak terjangkit penyakit berkenaan, maka risiko menyebaran di sekolah amat tinggi,” kata Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat itu lagi.

Perkara itu ekoran laporan sejumlah sekolah di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Johor diarahkan ditutup berikutan terdapat 39 kluster dengan 1,420 kes membabitkan sub kategori sekolah atau institusi KPM dikesan dari 1 Januari hingga 20 April lalu.

Justeru itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak menjaga dan memastikan rantaian Covid-19 ini putus dengan melaksanakan arahan KKM sebaiknya.

“Manakala hal pengurusan pengoperasian sekolah pula diserahkan kepada pihak KPM untuk menentukan keputusan, sama ada terus beroperasi atau ditutup sementara,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/4/2021

- Advertisement -