PAS ucap takziah kepada Presiden, rakyat Indonesia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Joko Widodo dan rakyat Republik Indonesia atas tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.

“Saya mendoakan supaya seluruh keluarga anak kapal KRI Nanggala 402 diberikan kekuatan untuk menghadapi musibah ini.

“Semoga seluruh ahli kapal KRI Nanggala 402 ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan dilimpahkan dengan rahmat Allah SWT,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau malam ini.

- Advertisement -

Bernama melaporkan, Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto hari ini mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban.

“Seramai 53 personnel yang onboard KRI Nanggala-402 telah gugur, berdasarkan bukti-bukti authentic itu, dapat dinyatakan bahwa KRI Nanggala 402 telah tenggelam,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada Presiden Joko Widodo serta kerajaan dan rakyat Indonesia susulan tragedi itu.

Beliau berkata Malaysia sentiasa bersedia untuk terus menghulurkan bantuan wajar yang diperlukan kepada Indonesia dalam menghadapi waktu genting itu. – HARAKAHDAILY 25/4/2021

- Advertisement -