Sindiket ejen program rekalibrasi tumpas

- Advertisement -

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan operasi khas menyerbu sindiket didalangi warganegara Pakistan yang menjalankan kegiatan ejen Program Rekalibrasi Tenaga Kerja. Operasi dijalankan pada jam 4:30 petang 21 April 2021 oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas ke atas dua buah premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Operasi khas ini merupakan susulan daripada ‘Ops Hack’ yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April 2021. Operasi ini adalah bertujuan bagi mengesan saki baki syarikat yang menggunakan pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ Sistem MyIMMs.

- Advertisement -

Dalam operasi ini seorang lelaki warganegara Pakistan berumur 39 tahun yang merupakan ‘Mastermind’ sindiket telah ditahan. Turut ditahan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 20 tahun dan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 24 tahun kerana bekerjasama dan melindungi lelaki Pakistan tersebut. Pemeriksaan awal turut mendapati lelaki Pakistan tersebut menggunakan PLKS palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur.

Sejumlah 81 naskah pasport pelbagai negara (Pakistan, Bangladesh dan Vietnam) dan wang tunai berjumlah RM15,950.00 telah dirampas hasil pemeriksaan di premis sindiket beroperasi. Premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dengan bayaran di antara RM2,000.00 ke RM3,000.00 seorang. Berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dianggarkan telah membuat kutipan dalam lingkungan RM243,000.

Modus operandi sindiket ini adalah lelaki Pakistan tersebut mendapatkan pelanggan dari kalangan warganegara Pakistan terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi. Semakan awal ke atas pasport yang dirampas di tempat kejadian turut menemui pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ yang ditumpaskan sebelum ini.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. Jabatan ini menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan Program Rekalibrasi.

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD 
Ketua Pengarah 
Jabatan Imigresen Malaysia – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -