Ayam dijual ikut harga ditetap kerajaan – KPDNHEP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berdasar pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) sehingga semalam ayam dijual mengikut harga yang ditetapkan iaitu RM7.90 sekilogram (runcit).

- Advertisement -

Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, harga tersebut masih dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa.

Kata beliau pihaknya sentiasa memastikan harga jualan di bawah skim tersebut.

“Saya berharap semua peniaga patuh pada harga tersebut. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 bermula 21 April hingga 20 Mei bagi tempoh 30 hari.

“Tempoh terbabit iaitu 22 hari sebelum perayaan dan tujuh hari selepas perayaan,” katanya kepada pemberita sempena Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Mydin Kubang Kerian hari ini.

Kata beliau skim tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDNHEP mengenal pasti 12 jenis barangan yang berada di bawah skim berkenaan.

Antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, daging lembu tempatan, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, mambung dan selayang.

“KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasar maklumat daripada pihak industri iaitu semua peringkat daripada runcit hingga pembekal.

“Selain itu berdasar pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun,” katanya.

Maklumat juga diperoleh dari pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.

Beliau juga berkata, sebanyak 68 notis dikeluarkan selepas KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan ke atas pembekal dan pemborong ayam di negeri itu.

Notis tersebut dikeluarkan bermula sejak 13 hingga 21 April untuk mendapatkan maklum balas lanjut daripada mereka yang terlibat sebelum dikenakan sebarang tindakan. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -