Laporan perkembangan semasa mengenai COVID-19

- Advertisement -

KES harian COVID-19 semakin meningkat di banyak negara di dunia

Sehingga 20 April 2021, jumlah kes positif COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia melonjak kepada 142.71 juta kes, dengan angka kematian melebihi 3.04 juta orang menerusi data terbaru yang diterbitkan Pusat Sains Sistem dan Kejuruteraan (CSSE) Universiti Johns Hopkins. 
Amerika Syarikat (AS) adalah negara paling teruk terjejas dan berada pada kedudukan tertinggi dari segi jumlah kes dan kematian, masing-masing sebanyak 32,475,043 dan 581,542 kes. Ia diikuti oleh India pada kedudukan kedua tertinggi dengan 15,317,714 kes dan pertambahan sebanyak 96,982 kes baharu. Pada awal tahun 2021, India hanya mencatatkan kurang dari 20,000 kes baharu, namun kes telah melonjak bermula awal April tahun ini. 

- Advertisement -

Indonesia mencatatkan jumlah peningkatan kes COVID-19 yang ketara sejak 14 hari lepas, dengan purata sebanyak 5,453 kes. Thailand pula merekodkan 1,547 kes baharu COVID-19 dan dua (2) kematian dalam tempoh 24 jam lepas. Jumlah terkini kes baharu itu menjadikan Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes harian COVID-19 dalam masa tiga hari berturut-turut selepas hanya mencatatkan purata kes harian kurang dari 100 kes pada 4 April 2021 lalu. 

Situasi peningkatan kes yang sama dapat dilihat di Malaysia di mana kes terkini yang direkodkan adalah berjumlah 379,473 kes dengan pertambahan kes baharu sebanyak 2,341 kes semalam.

Kaedah pengendalian data COVID-19 di KKM

Setiap negara perlu memastikan semua data seharian COVID-19 dan data klinikal kes COVID-19 adalah tepat dan sahih. Oleh itu, sistem pengurusan data yang digunakan perlulah telus dan mempunyai integriti.

Semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital, mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta adalah wajib dimuatnaik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA). Sistem ini sentiasa dipantau oleh KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan susulan sewajarnya dapat diambil. 

Data dari semua negeri diterima selewat-lewatnya pada jam 12 tengah hari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan. Seterusnya data ini dianalisa dan diverifikasi sebelum ianya didaftarkan. 

Semakan terhadap semua data akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai di CPRC KKM. Data yang telah didaftarkan sebagai data harian Malaysia kemudiannya akan digunapakai untuk analisa epidemiologi situasi COVID-19 di Malaysia termasuk tren kes, kadar kebolehjangkitan, kluster-kluster COVID-19, kapasiti hospital dan makmal serta keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan. Kesemua maklumat yang telah disemak ini kemudiannya akan disunting untuk penyediaan Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan dan perlu mendapat pengesahan akhir oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

Proses yang sama ini dijalankan setiap hari oleh petugas-petugas di lapangan serta di Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga CPRC Kebangsaan. Semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di peringkat daerah sehingga ke peringkat Kebangsaan adalah tertakluk kepada undang-undang berkaitan dan diwajibkan untuk menjaga kerahsiaan data pesakit-pesakit COVID-19. Oleh itu tidak timbul sebarang kesangsian terhadap sistem pengurusan data COVID-19 dan juga data harian yang dikongsikan KKM kepada umum.

TAN SRI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -