Fokus ibadah, penyatuan ummah dan tolak permusuhan

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak seluruh umat Islam untuk menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T atas kesempatan berada di dalam Bulan Ramadan Al-Mubarak di samping kekuatan dan kesihatan untuk melaksanakan segala yang diperintahkanNya. Justeru, DUPP menyeru seluruh Umat Islam khususnya pejuang kebenaran dan pencinta perpaduan untuk memberikan sepenuh perhatian dalam memanfaatkan kemuliaan bulan ini dengan memperbanyakkan serta mempelbagaikan amal soleh untuk sama-sama merebut ganjaran pahala berganda dari Allah S.W.T.

Walau bagaimanapun, kemunculan pelbagai isu-isu semasa di media sosial khususnya yang berkait dengan politik tanah air menyebabkan banyak masa dihabiskan untuk melayari serta melayani berita-berita atau kiriman-kiriman terutamanya yang boleh membawa kepada pertelingkahan, permusuhan dan kebencian. Keadaan ini tentu sekali tidak selari dengan kemuliaan dan keberkatan bulan Ramadan. 

Advertisement

Sehubungan itu, DUPP mengambil kesempatan untuk memperingatkan agar kita semua tidak merosakkan atau mengurangkan pahala Ibadah di bulan Ramadan dengan perlakuan dan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya khususnya kiriman-kiriman atau komen-komen negatif di media-media sosial yang dianggap sebagai remeh oleh sebahagian kita, sedangkan di sisi Allah S.W.T merupakan satu kesalahan besar. Firman Allah S.W.T:

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَ تَقُولُونَ بِأَفْواهِكُمْ ما لَيْسَ لَكُمْ بِهِ عِلْمٌ وَ تَحْسَبُونَهُ هَيِّناً وَ هُوَ عِنْد اللهِ عَظيمٌ

“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal Dia pada sisi Allah adalah besar.”

(an-Nur: 15)

DUPP sekali lagi mempertegaskan untuk kita semua sama-sama berperanan ke arah penyatuan dan perpaduan ummah serta menolak sebarang anasir-anasir yang membawa kepada permusuhan dan kebencian di samping tetap istiqamah dengan ketekunan pengabdian kita kepada Allah S.W.T sebagaimana firman Allah S.W.T:

رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا فَاعْبُدْهُ وَاصْطَبِرْ لِعِبَادَتِهِ ۚ هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا

“Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadat kepada-Nya. Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?”

(Maryam: 65)

“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/4/2021