Dua keistimewaan puasa tiada pada ibadah yang lain

- Advertisement -

PERTAMA: Pahala berpuasa lebih besar ganjarannya

- Advertisement -

Sepertimana maksud Hadis Qudsi, Allah berfirman:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إلَّا الصَّوْمَ، فإنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.”

(Riwayat Bukhari)

Maka sangat jelas, tidak ada pahala amal ibadah yang lain setanding pahala berpuasa. Pahala berpuasa mengatasi ganjaran pahala ibadah yang lain. Ketika mana Nabi S.A.W ditanya oleh Abu Umamah: Apakah amalan yang paling afdhal? Nabi S.A.W menjawab:

عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لاَ عِدْلَ لَه

“Hendaklah kamu berpuasa kerana sesungguhnya tidak ada amalan yang setanding dengannya.”

(Riwayat Ahmad)

Ini menunjukkan bahawa puasa mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di sisi Allah A.W.

Kedua: Keistimewaan berpuasa dengan pintu Ar-Rayyan

Allah kurniakan pintu khas kepada orang-orang yang berpuasa di dalam syurga nanti. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ . متفق عليه

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu dipanggil ar-Rayyan. Orang-orang berpuasa akan memasuki syurga melalui pintu tersebut pada hari kiamat nanti. Tidak ada orang lain yang akan memasuki pintu tersebut melainkan mereka. Diseru ketika itu, di manakah orang-orang yang berpuasa, lantas mereka bangun, tidak akan ada orang lain yang memasuki syurga melalui pintu tersebut melainkan mereka. Apabila mereka masuk, pintu tersebut ditutup dan tidak ada siapa akan masuk melaluinya lagi.”

(Muttafaqun Alaihi)

Ini menunjukkan ibadah berpuasa mempunyai pintu khas di syurga nanti. Semoga puasa Ramadan pada tahun ini dapat mendidik kita agar meneruskan amalan berpuasa pada bulan-bulan yang lain insya-Allah.

Alhamdulillah pagi tadi sempat mengimamkan solat jenazah arwah Johan Abas 53 tahun di Masjid Lama. Mati dalam bulan Ramadan, semoga Allah ampunkan dosa-dosa beliau dan merahmatinya.

USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM AL HAFIZ – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -