Politik perpaduan ummah tunduk dan patuh pada al-Quran

- Advertisement -

SIKAP dan pendirian PAS sebenarnya cukup terang dan jelas namun banyak pihak masih mempersoalkannya. PAS sokong Umno-BN atau BERSATU? Setiap kali persoalan ini diajukan rata-rata pimpinan PAS menegaskan bahawa PAS kekal ‘Memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan Mempertahankan Perikatan Nasional (PN)’. Bagi yang faham politik PAS akan akur tetapi ramai yang tidak faham semakin serabut dengan jawapan sebegitu.

Inilah kehebatan politik Islam sentiasa tegas dan jelas dalam sikap dan pendirian. Kerana sikap dan pendiriannya dibina dari kefahaman dan ajaran Islam, tidak boleh lari atau menyimpang darinya atau mencipta ranting-ranting baru yang tiada kena mengena dengan Islam. 

- Advertisement -

Kerana itu apabila mengikat tahaluf siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dahulu, apabila DAP mula mencabar pegangan PAS, walaupun ketika itu berada dalam kerajaan negeri Selangor, PAS tidak teragak-agak memutuskan hubungan, tampak rugi, tetapi kerana jelas dalam sikap dan pendirian yang tidak lari dari Islam dan tiada tolak-ansur.

Dalam perkembangan politik dewasa ini pasca PRU14, PAS nampak bahawa cabaran terbesar adalah apabila umat Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti dalam negara berpecah, apabila tiada kerjasama dan perpaduan sebaliknya bertanding pula sesama sendiri, akibatnya yang rugi adalah umat Melayu Islam. Menang sorak kampung tergadai demikianlah rupanya.

Lantaran keengganan bermuafakat, kecundang belaka semua dan naik mendominasi ke mercu kuasa masyarakat minoriti yang sudah pasti memiliki agenda yang sama sekali berbeza. Inilah kesannya dalam PRU14 apabila PH yang didominasi DAP naik berkuasa lantaran perpecahan sesama ummah.

Hari ini PAS melalui politik perpaduan ummah mahu mengajak rakyat Malaysia agar melupakan politik yang lampau dan bersama membuka lembaran baru berteraskan kepatuhan kepada Yang Maha Esa. Kegagalan berpolitik berpandukan ‘Tali Allah’ lah yang menjadi punca kepada pecah-belah di kalangan kita, bermusuhan sesama sendiri sehingga akhirnya naik berkuasa mereka yang lain.

Malah inilah juga faktor yang sama yang mengakibatkan keruntuhan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka satu ketika dahulu serta banyak lagi yang lain. Atas keinsafan bersama kita perlu teroka politik baru. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam al-Quran:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

(al Ra’d: 11).

Umat Melayu Islam lahir dari benih yang mulia dan dihormati. Politik Islam mengajak pengikutnya bukan sekadar beroleh kejayaan memiliki kuasa dan kerajaan tetapi lebih besar dari itu ia memandu rakyat ke arah kebahagian dan kesejahteraan yang kekal abadi iaitu sehingga berjaya menjejak kaki ke syurga Allah S.W.T.

Kerana itu PAS mahu membawa tuntutan perubahan ini agar melalui kesatuan ummah kita membina kekuatan yang nanti akan membentuk sebuah pemerintahan dan kerajaan yang diberkati Allah S.W.T, sejahtera dan mulia di dunia, juga sejahtera dan mulia di akhirat kelak.

Menurut Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, “(Islam) kerajaannya adil dan pemimpinnya pula bertakwa, sehingga akhirnya Islam diterima tanpa paksaan.”

Sokongan dan majoriti yang besar tidak ada faedahnya tambah Tuan Guru sekiranya pemimpin yang naik tidak berintegriti, berbohong kepada rakyat. Maka naiklah pemimpin yang tiada akhlak, berpura-pura dan mudah cenderung dan terjerumus ke kancah maksiat dan kebinasaan.

Tatkala itu penekanan moral semakin longgar dan budaya rasuah, politik wang bermaharajalela dan rakyat di bawahnya pula lalai dan lewa sehingga punah segalanya. Ketika wang menjadi penyelesaian kepada semua masalah, maka Islam tiada lagi nilai lantas apa sahaja yang dilarang dan ditegah agama boleh sahaja dilanggar dan dipermainkan.

PAS mengajak rakyat Malaysia untuk bersama keluar dari kepompong kesesatan itu. Ambil iktibar dari 22 bulan pemerintahan PH yang diterajui DAP berpunca dari kelemahan kita bersama. Rakyat mahukan negara Malaysia yang stabil dan aman. Jenayah dan penyelewengan berjaya ditangani dan dibanteras bukan lagi bermaharajalela sehingga boleh mempengaruhi kepimpinan dan pihak berkuasa. 

Rakyat mahu sejahtera dan hidup bahagia, peluang pekerjaan yang luas, hasil tani, laut dan komoditi yang punya harga, upah dan gaji yang berpatutan, ekonomi yang stabil dan bertenaga.

Rakyat juga mahu dilindungi dari budaya yang tidak sihat yang boleh mengancam diri dan keluarga mereka, budaya Barat yang ekstrem dan bertentangan dengan nilai kita perlulah disekat termasuklah LGBT, seks bebas, seks sejenis. Fahaman Liberal yang melampau perlu dibendung, fahaman rasis dan Cauvinis yang boleh cetuskan ketegangan kaum dan agama perlu dipatahkan.

Kerajaan idaman rakyat adalah kerajaan yang berupaya memberikan mereka semua ini bukan lagi menipu mereka dengan janji palsu atau alasan yang pelbagai. Kerajaan itu mestilah dipimpin oleh mereka yang berintegriti, yang tidak mata duitan atau mata perempuan atau tewas pada pujukan seks sejenis.

Bagi PAS, tiada cara lain untuk memenuhi kehendak rakyat itu melainkan kita kembali kepada Islam. Dan politik Islam hanya dapat berdiri teguh apabila semua parti-parti politik berteraskan Melayu Islam dapat mengenepikan perbezaan masing-masing, bermuafakat dan bersatu demi agama, bangsa dan negara. 

Bersama kita lahirkan kepimpinan yang bertakwa yang sudah pasti berintegriti, bermoral tidak takut atau tunduk pada manusia tetapi hanya takut dan tunduk pada Allah S.W.T. Tatkala itu yakin dan percayalah Malaysia bakal terbit sebagai sebuah negara yang maju dan mewah dan yang lebih penting sentiasa di bawah lindungan Allah S.W.T.

Lantaran itulah membina perpaduan ummah ini penting dan perlu diutamakan. Kerana itu PAS tidak sekali-kali akan putus asa. Memang musuh mahukan kita gagal. Musuh mahu melihat kesatuan umat Islam ini musnah lalu diserang dan ditabur pelbagai fitnah dan tipu daya untuk kita saling benci-membenci sehingga nanti mendorong kita untuk kembali bermusuhan sesama sendiri, lawan dan bertanding pelbagai penjuru, kesudahannya mereka kembali berkuasa atas runtuhan kesatuan ummah yang gagal.

Semoga bulan Ramadan yang penuh barakah ini benar-benar mendekatkan kita kepada al-Quran lalu akur dan menerimanya sebagai rujukan dan panduan hidup, berpolitik dan bernegara. Biar kembali bertenaga dan bermaruah agama dan bangsa kita. Biar maju sejahtera Malaysia tercinta.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -