Agenda utama kerajaan PN kurang beban rakyat

- Advertisement -

ARAU: Menyantuni penduduk miskin sempena Ramadan menjadi perkara lumrah kerana ganjarannya begitu besar. Aktiviti tersebut berlaku di mana-mana.

Begitu juga di Perlis, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) dengan kerjasama Muslim Care Malaysia turut menyantuni golongan asnaf.

Program Semarak Kasih Ramadan yang diadakan baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima.

- Advertisement -

Pengerusi LKK DMPM, Dr Uyun Malek berkata, biarpun berdepan dengan kekangan masa namun program dengan kerjasama Muslim Care turun padang menyampaikan sumbangan di lima Dun di kawasan Parlimen Arau.

Katanya, sebanyak 15 set sumbangan diagih kepada penduduk, manakala bakinya akan disampaikan wakil Muslimat PAS Kangar dan Padang Besar.

“Kami berharap sumbangan yang diberi tersebut dapat membantu mengurang beban perbelanjaan penerima di samping menggembirakan mereka mengharungi hidup di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Ketua Muslimat PAS Perlis Latipah Mat dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Perlis, Jaliah Zakhir.

Manakala di Dun Sanglang sebanyak 100 penduduk mendapat sumbangan Bakul Makanan Permai yang disampaikan Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli.

Program itu diadakan di Pusat Khidmat Dun Sanglang.

Mohd Shukri berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadikan agenda mengurangkan beban kehidupan rakyat sebagai agenda utama.

“Sejak mengambil alih pentadbiran negara, pelbagai bentuk program, pakej rangsangan ekonomi, bantuan dan sebagainya dilaksanakan kerajaan PN yang bermatlamat membantu rakyat.

“Ini bukti kerajaan PN sangat komited menjaga kebajikan rakyat serta memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara menerusi pentadbiran yang berwibawa,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis.

Sementara itu rata-rata penerima ketika ditemui menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan program berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kehidupan rakyat miskin. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -