Ops Keselamatan Makanan Ramadan jamin kebersihan makanan

- Advertisement -

BATU GAJAH: Penjaja Bazar Ramadan di seluruh Negeri Perak diingatkan supaya sentiasa mematuhi elemen kebersihan, keselamatan makanan dan menjual makanan yang bersih kepada orang awam.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamarudin, satu siri Operasi Keselamatan Makanan Bulan Ramadan peringkat Negeri Perak sedang dijalankan bermula 13 April hingga 12 Mei.

“Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan menjalankan aktiviti pemeriksaan premis di sepanjang rantaian makanan meliputi pembekal, premis penyediaan makanan dan jualan bazar sepanjang Bulan Ramadan.

“Komponen yang diambil kira adalah dari aspek kebersihan persekitaran, peralatan dan pengendali makanan serta kaedah mempamerkan makanan turut dinilai agar makanan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak 2021 di Dataran Orkid di sini, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan pensampelan makanan dijalankan berdasarkan Akta Makanan 1983 serta Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 agar makanan yang dijual bersih dan selamat.

“Sepanjang bulan Ramadan, sebanyak 89 pensampelan dirancang di seluruh Negeri Perak dan setakat ini sebanyak 29 sampel telah diambil.

“Amalkan konsep ‘Lihat, Hidu dan Rasa’, sekiranya terdapat makanan rosak, berhenti makan dan jangan sesekali kongsi makanan kepada orang lain,” tegasnya.

Pengguna dinasihatkan membuat pilihan bijak melalui konsep ‘Perhati dan Pilih’ dengan memilih premis makanan yang dijual oleh pengendali makanan yang bersih dan sihat. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -