Malaysia Prihatin jaga kebajikan rakyat sepanjang pandemik

Foto oleh Abdul Rahman
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali yakin usaha kerajaan melalui Malaysia Prihatin berjaya menjaga rakyat sepanjang penularan pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu, kerajaan bahkan menyuntik sejumlah dana yang besar berbilion ringgit selain mewujudkan pelbagai polisi dalam tempoh setahun yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Ia termasuk kejayaan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) meningkatkan harga komoditi di peringkat sawit yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ujarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian mengulas persoalan media mengenai pandangannya berhubung penularan tanda pagar #kerajaangagal di media sosial kebelakangan ini.

“Sebenarnya saya pernah menjadi pembangkang. Benda ini biasalah, pembangkang akan trick aspek-aspek untuk menggambarkan persepsi negatif kepada kerajaan.

“Yang penting kerajaan mesti bekerja, rakyat akhirnya akan menilai kerja yang dibuat oleh kerajaan ketika PRU (Pilihan Raya Umum) nanti, itu yang penting pada kami. Sekarang yang penting, apa yang kita buat,” katanya kepada media selepas selesai menghadiri Majlis Iftar Menteri KPPK bersama media di sini, semalam.

Mengulas berhubung sikap Umno Terengganu kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, pendirian yang diambil Umno Terengganu mustahil untuk diluluskan oleh Umno peringkat pusat.

Kata beliau, sekiranya hal tersebut berlaku, ia seolah Umno menempah jalan maut bagi parti itu sendiri.

“Kalau itu dibuat oleh Umno Terengganu, dia akan menggagalkan misi Umno seluruh negara.

“Kerana misi Umno seluruh negara itu dengan PAS adalah tidak berlaku sebarang pertembungan tiga penjuru yang akan merisikokan ketidakmenangan parti PAS dan juga Umno.

“Jadi, (saya) yakin tidak akan di proceed atau tidak akan diluluskan oleh Umno peringkat pusat. Kalau diluluskan juga, bererti menempah maut bagi Umno sendiri,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Tambah Khairuddin, koalisi Muafakat Nasional sentiasa mengadakan rundingan dari semasa ke semasa antara parti-parti di dalamnya selama sebulan dua kali.

Justeru itu, tindakan itu memberi gambaran secara optik bahawa PAS dan Umno sentiasa bersama dalam Muafakat Nasional (MN) sebagaimana PAS juga bersama dalam Perikatan Nasional (PN). – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -