Tindakan pantas, tangkas SKMM dan PDRM

- Advertisement -

KETANGKASAN pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat wajar dipuji.

Isu yang tular sejak baru-baru ini mengenai satu iklan video raya yang mempromosikan judi telah berjaya diatasi susulan penahanan dilakukan pihak berkuasa atas laporan yang dibuat. 

Ternyata, tindakan yang diambil oleh pihak PDRM dan SKMM dalam mendepani masalah ini amat cepat dan tidak menunggu masa yang lama.

- Advertisement -

Isu ini bukanlah isu remeh yang boleh diambil enteng oleh masyarakat terutamanya di negara Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

Mempromosikan judi secara online juga adalah satu tindakan yang salah dan jelas melanggar undang-undang serta mencetuskan kegusaran awam. Maka, tindakan pantas daripada pihak SKMM dan PDRM merupakan satu tindakan terpuji dan berintegriti.

Atas kejayaan dan ketangkasan pihak berkuasa, PAS Perak mengucapkan sekalung jutaan tahniah dan terima kasih atas segala respon pantas yang ditunjukkan bagi menyelesaikan isu ini hanya dalam tempoh kurang 24 jam sejak video itu mula tular di media sosial.

Selain itu, PAS Perak turut ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan tahniah atas ketangkasan pihak PDRM membuat penahanan terhadap individu-individu yang dilaporkan memukul dua orang pengawal peribadi kerana berpuasa.

Sesungguhnya, tindakan yang diambil ini adalah sangat wajar dan bertepatan dengan lunas undang-undang yang tidak membenarkan jenayah pukul seperti ini berleluasa.

Tambahan pula, isu ini sangatlah sensitif dan bukan boleh dibuat main terutamanya kepada umat Islam yang diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan selain isu penghinaan kepada agama Islam yang melampau seperti yang dilaporkan sebelum ini. 

Diharapkan supaya pihak berkuasa akan meneruskan momentum cemerlang ini dalam membendung segala kejahatan di tanah air ini supaya bebas daripada cengkaman dan belenggu jenayah.

Tahniah PDRM, tahniah SKMM.

YB TN RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -