Tindakan tegas peniaga naik harga barang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 48 notis dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan ke atas peniaga ayam di negeri itu.

Notis berkenaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 menerusi Ops Pasar dan Ops Catut 8.0.

- Advertisement -

Katanya, menerusi operasi sama yang melibatkan pelbagai kategori barangan basah, pihaknya turut mengeluarkan 19 notis kepada peniaga daging dan 34 notis kepada peniaga sayur-sayuran.

“Kesemua mereka ini (peniaga) akan disiasat dan sekiranya berlaku pencatutan, tindakan tegas di bawah perundangan akan diambil,” ujarnya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada Ops Catut 8.0 yang berkuatkuasa Khamis lalu, pemantauan juga dilakukan ke atas pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong ayam di sekitar negeri ini.

Katanya, sehingga Sabtu sebanyak 48 notis telah dikeluarkan ke atas peruncit dan pemborong ayam dalam tempoh itu.

Tegasnya, tindakan akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang aktiviti pencatutan.

“Keseluruhan notis yang telah dikeluarkan sebanyak 225 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap bahan binaan, air kosong, pembekalan ayam, dan pembekalan daging oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kelantan,”ujarnya.

Adnan berkata, pihaknya memandang serius isu kenaikan harga ayam berikutan aduan orang ramai khususnya ketika Ramadan sekarang.

Katanya, pegawai penguat kuasa terus memantau bekalan dan harga ayam dan barang keperluan lain di pasaran supaya pengguna memperolehnya pada harga yang berpatutan.

Beliau menambah, sempena Ramadan dan Aidilfitri ini, KPDNHEP melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara yang bermula 13 April lalu.

Katanya, lokasi tumpuan Ops Pantau termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam dan pasar raya serta kedai runcit.

Katanya, di bawah operasi tersebut penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan orang ramai berada dalam suasana yang selesa serta mudah untuk mendapatkan bekalan barangan-barang makanan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan sehingga perayaan.

Sehubungan itu orang ramai disaran membuat sebarang aduan pengguna menerusi aduan rasmi ke Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Kelantan di talian 09-7416000. Waktu operasi 8 pagi hingga 5 petang atau boleh layari portal [email protected]; Call Centre 1800 886 800; Emel [email protected] atau hadir ke mana-mana lima pejabat KPDNHEP di seluruh Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

- Advertisement -