Kadar respon bancian di Kelantan tertinggi

KOTA BHARU: Kelantan menduduki tempat ketiga yang mencatatkan kadar respon melebihi 60 peratus iaitu 60.9 peratus berkaitan operasi banci Malaysia 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, sebelum ini negeri itu begitu rendah dalam pencapaian tersebut.

Menurutnya, empat negeri mencatatkan kadar respon melebihi 60 peratus, iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (100 peratus) Johor (65.4 peratus) diikuti Kelantan dan Perak (60.8 peratus).

Advertisement

Menurutnya, sehingga 15 April sebanyak 1.2 juta atau 60.9 peratus daripada anggaran 1.9 juta penduduk Kelantan telah dibanci.

“Manakala jumlah tempat tinggal pula sebanyak 352,000 atau (85 peratus) tempat kediaman telah diliputi daripada anggaran keseluruhan 412,000 tempat kediaman,” ujarnya.

Jelasnya, Jeli dan Jajahan Kecil Jojing merupakan dua jajahan terawal yang telah selesai operasi bancian.

Sambungnya, kerja-kerja pembancian di Jajahan Tanah Merah mencapai tahap 97 peratus dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Berhubung Sesi Libat Urus Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020: Status Pembancian Peringkat Negeri Kelantan di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah DOSM, Zuraidy Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Azhar Ismail.

Mustapa juga berkata, secara keseluruhannya, kesemua jajahan di Kelantan disasarkan akan selesai sepenuhnya dalam kerja-kerja pembancian di lapangan pada penghujung Mei 2021.

“Ini menjadikan Kelantan antara negeri terawal yang akan selesai operasi Banci Malaysia 2020.

“Banci Malaysia 2020 amat penting bagi kerajaan bagi mendapatkan data untuk merancang pembangunan dari segi kemudahan seperti pendidikan kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik,”ujarnya.

Menurutnya juga data yang dikumpul menjadi sumber utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dalam merangka program serta inisiatif yang lebih bersasar untuk rakyat. – HARAKAHDAILY 18/4/2021