SOP pelaksanaan ibadah di Tanah Suci akan diperinci

- Advertisement -

MAKKAH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan ibadah di Tanah Suci khususnya dalam menggariskan peranan syarikat pengelola jemaah haji dan pengendali umrah.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Noor Zari berkata SOP yang digariskan akan mengikut ketetapan semasa kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

- Advertisement -

Noor Zari berkata MOTAC selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, berperanan melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara dan hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah apabila pihak kerajaan bersedia membenarkan semula pelaksanaan ibadah itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berakhir hari ini.

“Para delegasi berpeluang untuk mengikuti pelbagai protokol yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam melaksanakan ibadah sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

“Di samping itu para peserta delegasi juga berpeluang untuk meneliti dokumen dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran mengerjakan ibadah haji yang lalu dan umrah terkini,” katanya.

Noor Zari berkata MOTAC dan delegasi terlibat turut mengadakan perbincangan bagi menyediakan draf kerangka SOP untuk dipertimbangkan kerajaan Malaysia sebagai persediaan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu berlangsung apabila sempadan antara kedua-dua negara kembali dibuka.

Perbincangan yang dibuat meliputi beberapa perkara penting seperti proses-proses dan keperluan melibatkan peranan pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan SOP yang perlu dipatuhi pada tiga jangka waktu termasuk sebelum berangkat, semasa mengerjakan ibadah di Tanah Suci dan setelah kembali ke Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan menguatkuasakan SOP yang ketat sejak membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 Nov 2020 lalu.

“Pindaan dari semasa ke semasa turut dibuat kepada SOP tersebut selaras dengan langkah-langkah pencegahan Covid-19 di negara itu dan MOTAC mengikuti rapat sebarang perkembangan baharu berhubung perkara tersebut,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -