Pemuda PAS sokong kerajaan negeri tegas isu judi

Ustaz Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

ALOR SETAR: Ketegasan kerajaan negeri membanteras kegiatan judi ‘haram’ (tidak berlesen) mendapat sokongan pelbagai pihak.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, tindakan itu sejajar menjaga kesucian bulan Ramadan sekarang.

Katanya perkara itu selaras dengan peruntukan undang-undang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 berkaitan aktiviti perjudian.

- Advertisement -

Seksyen 16 pula kerajaan negeri boleh mengambil tindakan terhadap umat Islam yang berjudi atau berada di pusat perjudian.

“Dewan Pemuda PAS Kedah menyokong penuh tindakan kerajaan negeri kerana secara tidak langsung dapat menjaga kesucian bulan Ramadan daripada perkara seumpama itu,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Najmi Ahmad mengumumkan tindakan tegas terhadap judi tidak berlesan akan dikuatkuasakan.

Nurul Amin juga berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau pusat-pusat judi berlesen supaya menghadkan operasinya terutamanya di bulan yang mulia sekarang.

Tambahnya isu judi bukan bersifat populis dan menunggu manfaat politik semata-mata kerana usaha menghalang umat Islam berjudi adalah tanggungjawab semua pihak.

“Dengan ketegasan ini kita mengharapkan agar premis judi juga tidak dibenarkan beroperasi lagi selepas ini.

“Semoga Kedah yang kita cintai ini menjadi sebuah negeri yang disifatkan Baldatun Toyyibatun Warobun Ghafur iaitu negeri yang aman sejahtera dalam masa yang sama diredai Allah Taala,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -