Lantik Penyelaras Parlimen wibawa mampu tawan Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) Selangor dianggap mampu merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) dengan melantik Penyelaras-Penyelaras Parlimen yang berwibawa.

Yang Dipertua PAS Pandan, Dato’ Iskandar A Samad berkata pimpinan tertinggi PN perlu bertindak dengan bijaksana dalam misi merampas Selangor daripada PH.

Katanya, faktor tempatan dan sejarah serta latar belakang sesuatu kawasan penting diambil kira.

- Advertisement -

“Salah satu cara untuk PN berjaya merampas Selangor perlu dilaksanakan secara teliti serta mengambil kira semua faktor.

“Ia bukan sekadar berdasarkan Perlembagaan Perikatan Nasional sahaja,” katanya di sini.

Baru-baru ini PN merancang melantik seorang Penyelaras Parlimen di setiap Parlimen sebagaimana termaktub dalam Fasal 22, Perlembagaan Perikatan Nasional sebagai usaha memperkuatkan peringkat akar umbi.

Bagaimanapun Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dilapor memberi amaran termasuk menarik sokongan kepada kerajaan PN sekiranya terdapat usaha melantik seorang penyelaras di kerusi Parlimen di Tanjong Karang.

Difahamkan Penyelaras Parlimen yang akan dilantik adalah Ketua Bahagian yang merupakan ketua kepada semua parti-parti anggota.

Fasal 22, Perlembagaan PN menyebut Jawatankuasa Penyelaras Parlimen hendaklah mengandungi tiga wakil rakyat dari tiap-tiap parti anggota dan seorang wakil wanita.

Iskandar juga berkata, kegagalan melakukan pelantikan Penyelaras Parlimen boleh menyebabkan kerajaan PN kehilangan sokongan.

“Rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi yang akan diterjemahkan kepada tindak balas negatif daripada jentera-jentera parti ketika pilihan raya yang akan merugikan PN.

Beliau juga bimbang suasana yang tidak harmoni akan wujud sebelum pilihan raya berlangsung. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -