KUALA LUMPUR: Persatuan Pengawal Keselamatan Bersatu Malaysia (MUSGA) menganggap kejadian bodyguard dipukul oleh majikan berkemungkinan mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.
Presidennya, Mohd Nizam Hamzah mendakwa banyak syarikat kongsi gelap terlibat dalam bidang industri keselamatan.
“Banyak sebenarnya syarikat kongsi gelap terlibat dalam bidang keselamatan ini, bersembunyi. lebih baik tanya PIKM (Persatuan Industri Keselamatan Malaysia), depa lebih memahami pasal isu kongsi gelap dalam pengawal keselamatan ini,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.
Pada pengamatan beliau sebagai seorang yang berpengalaman dalam industri tersebut, dapat menghidunya memandangkan kes sedemikian jarang berlaku di antara majikan dan pekerja.
Beliau berkata, sekiranya majikan tidak gemar terhadap pekerja yang berpuasa, boleh sahaja menggajikan pekerja bukan Islam.
Tambahnya, majikan tidak sepatutnya bersikap sedemikian terhadap pekerjanya, apatah lagi mengugut pekerja dengan mengacukan pistol.
“Puasa bukan ganggu kerja, pengawal keselamatan berpuasa tidak ganggu kerja pun, dia tetap menjalankan tugas dia juga, kenapa dia hendak sakit hati dengan orang Islam yang nak berpuasa?

“Saya jadi marah, sebagai Presiden MUGSA, kenapa dia tak benarkan berpuasa?” ujarnya.
Menurutnya, setakat ini tidak ada majikan yang tidak membenarkan pekerja berpuasa.
“Setakat ini tidak ada lagi majikan yang tidak membenarkan kami berpuasa, banyak juga majikan yang bukan Islam tetapi tidak kisah pun sebenarnya (pekerja berpuasa),” ujarnya.
“Kenapa sekarang dia tak bagi puasa? Kalau tak nak pekerja puasa, jangan ambil bodyguard orang Islam, ambillah bodyguard bukan Islam. Kita faham, (perkara ini mungkin ada kaitan dengan) kongsi gelap.
“Banyak sebenarnya syarikat kongsi gelap terlibat dalam bidang keselamatan ini, bersembunyi. Lebih baik tanya PIKM, mereka lebih memahami pasal isu kongsi gelap dalam pengawal keselamatan ini,” ujarnya enggan mengulas lebih lanjut perihal isu itu.
Justeru, beliau berharap pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuat keputusan yang adil dan tegas bagi membela nasib dua pengawal keselamatan itu.
Mohd Nizam turut berharap tidak berlaku situasi anggota PDRM diperkotak-katikkan oleh mana-mana kongsi gelap.
Ini, ujarnya seperti mana yang didakwa oleh majikan tersebut yang mengatakan dia mempunyai hubungan baik dengan PDRM dan tidak gentar dengan kuasa polis.
“Kita tahu rasuah ini banyak dan KPN (Ketua Polis Negara) pun sedang bertindak membanteras rasuah sekarang ini dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Jadi bila nama dia (KPN) dipetik dalam itu (report polis dua bodyguard), saya harap pihak polis ambil tindakan adil dan tegas terhadap kes ini,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai tindakan MUSGA selepas daripada kejadian itu, kata Mohd Nizam, pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) bagi mencegah perkara sama berulang. – HARAKAHDAILY 16/4/2021