COVID-19: Malaysia kini di ambang ‘Gelombang Keempat’?

BERIKUT adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 10 April hingga pukul 8:30 malam 16 April 2021.

Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melebihi 370,000. Di peringkat global, lebih 139 juta kes dilaporkan dengan lebih 3 juta kematian. Lebih 118 juta juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mungkinkah lonjakan kes harian baharu COVID-19 melebihi dua ribu yang direkod pada Khamis (15 April) dan hari ini menandakan Malaysia kini berada di ambang ‘Gelombang Keempat’?

Hari ini (Jumaat 16 April 2021) kes harian baharu meningkat lagi kepada 2,551 kes berbanding semalam, 2,148 kes.

Beberapa hari lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba senada membuat kenyataan berhubung keberangkalian perkara yang sama.

Rekod kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan Bernama (10 April hingga 16 April) sebelum ini menunjukkan pada kebanyakan hari, angka kes berada di atas paras 1,500, sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan turut melepasi angka 15 ribu.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman secara konsistennya berada pada kadar 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Dalam masa yang sama, kluster baharu melibatkan tempat kerja dan komuniti terus dilaporkan berlaku. Semalam (15 April 2021), sebanyak 15 buah kluster baharu iaitu sembilan (9) kluster tempat kerja dan enam (6) komuniti diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hari ini tujuh (7) lagi kluster baharu diumumkan oleh KKM iaitu tiga (3) kluster tempat kerja, dua (2) kluster pusat tahanan, dan masing masing satu (1) kluster komuniti dan kluster pendidikan.

Setakat hari ini, negara sedang bergelut dengan 346 kluster yang masih aktif dan 68 daripadanya mencatat kes baharu.

Cadangan tangguh rentas negeri

Bimbang dengan perkembangan penularan koronavirus maut itu, Dr Adham membuat kenyataan semalam bahawa KKM “mencadangkan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri pada bulan Mei depan ditangguh.”

Jika ini dikuatkuasakan, bermakna tiada ‘Balik Kampung’ (dua tahun berturut-turut) untuk Hari Raya Puasa yang dijadualkan pada 13 Mei 2021.

Setakat 16 April 2021, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 melonjak kepada 18,600 kes, sementara kes kumulatif COVID-19 di Malaysia, sebanyak 370,528 kes

Sebelum semalam (15 April), rekod kes harian baharu dua (2) ribu yang terakhir melanda negara adalah pada 4 Mac 2021 iaitu sebanyak 2,063 kes (penularan tempatan 2,054 kes dan kes import 9 kes). Kes aktif pada tarikh tersebut sebanyak 23,161 kes. Selangor mencatat kes harian baharu tertinggi iaitu 630 kes, diikuti Sarawak 361 kes dan Johor 255 kes.

Malaysia yang dilanda gelombang ketiga COVID-19 bermula pada 20 September 2020, mula merekodkan kes harian empat angka bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 (1,228 kes).

Untuk 2,551 kes hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menyatakan dalam kenyataan akhbarnya, sebanyak 2,522 adalah penularan tempatan (2,233 warganegara dan 289 bukan warganegara). Baki 29 kes adalah kes import, melibatkan 10 orang warganegara dan 19 orang bukan warganegara.

Semalam, Khamis 15 April 2021, kes harian baharu COVID-19 melepasi angka dua ribu iaitu sebanyak 2,148 kes. Daripada jumlah itu, sebanyak 2,129 adalah kes tempatan, sementara kes import sebanyak 19 kes ( 6 warganegara dan 13 bukan warganegara).

Untuk rekod, kes import yang dicatat sepanjang rangkuman mingguan ini adalah seperti berikut:-

5 kes (10 April), 8 kes (11 April ), 12 kes (12 April), 9 kes (13 April), 6 kes (14 April), 19 kes (15 April) dan 29 kes (16 April).

Dengan 370,528 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Slovakia (374,586 kes), Bulgaria (382,761 kes) dan Arab Saudi (402,142 kes).

Setakat 16 April 2021, sebanyak 1,524 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini 350,563 kes atau 94.6 peratus.

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama 10 April hingga 16 April 2021 adalah seperti berikut:-

1,510 kes (10 April), 1,739 kes (11 April), 1,317 kes (12 April ), 1,767 kes (13 April), 1,889 kes (14 April), 2,148 kes (15 April) dan 2,551 kes (16 April).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

1,248 kes (10 April), 1,216 kes (11 April), 1,052 kes (12 April), 1,290 kes (13 April), 1,485 kes (14 April), 1,259 kes (15 April) dan 1,524 kes (16 April).

Maklumat terkini kes COVID-19 varian UK B.1.1.7

Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar semalam (15 April 2021) memaklumkan dua (2) lagi kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 dikesan di negara ini, menjadikan jumlah kes bagi varian UK B.1.1.7 adalah sebanyak lima (5) kes sehingga 15 April 2021.

Dua (2) kes terbaru iaitu kes keempat dan kelima melibatkan pengembara warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Poland pada bulan Mac 2021. Kedua-dua pengembara tersebut disahkan positif COVID-19 pada 30 Mac 2021.

Menurut beliau, sejak 3 Februari 2021, Variant of Concerns (VOCs) mula dikesan di Malaysia. Dua (2) kes pertama varian UK B.1.1.7 dikesan melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangasa (PMA). Saringan di PMA seterusnya mengesan dua (2) kes varian Nigerian B.1.525 pada 5 Mac 2021.

Pada 18 Mac 2021, varian South Afican B.1.351 pula ditemui dalam kalangan dua (2) kakitangan syarikat yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kluster Jalan Lima serta satu (1) kes masing-masing dari Kluster Kebun baru dan saringan kontak rapat.

Bagi mengesan sejauh mana penyebaran lineage B.1.351, Dr Noor Hisham berkata lebih banyak kes di kawasan geografi yang berdekatan termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang dijalankan turutan jujukan genom penuh.

Sehingga 14 April 2021, sejumlah 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 di Malaysia

KKM mengumumkan, 17 kes berkenaan dikesan dalam Kluster Jalan Lima (3 kes), Kluster Kebun Baru (9 kes), Kluster Teknologi Emas (1 kes) dan Saringan kontak rapat (4 kes).

Dr Noor Hisham mengingatkan bahawa varian UK B.1.1.7 dan varian South African B.1.351 berjaya dikesan di Malaysia boleh menular dengan mudah dan cepat walaupun banyak kajian saintifik masih berjalan untuk mengkaji gejala dan kesan jangkitan varian-varian ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.

Semakin banyak kluster

Sehingga Jumaat 16 April 2021, jumlah kluster yang direkod dalam negara adalah sebanyak 1,507 kluster dan 1,161 daripadanya ditamatkan. Kluster yang masih aktif adalah sebanyak 346 dan daripada jumlah itu, 68 kluster mencatat pertambahan kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Puncak Borneo (315 kes), Kluster Jalan Bambangan (99 kes), dan Kluster DTI Sandakan (55 kes). Sebanyak tujuh (7) kluster baharu diumumkan hari ini iaitu tiga (3) kluster tempat kerja (KTK) , masing-masing satu di Sarawak, Selangor dan WP Kuala Lumpur; dua (2) kluster pusat tahanan iaitu di Negeri Sembilan dan Sabah; satu (1) kluster komuniti di Sarawak dan satu (1) kluster pendidikan di Pahang.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 10 April hingga 16 April 2021:-

Sabtu 10 April – 9 kluster (6 KTK) ; Ahad 11 April – 8 kluster ( 5 KTK) ; Isnin 12 April – 10 kluster ( 7 KTK) ; Selasa 13 April – 9 kluster (4 KTK ); Rabu 14 April – 7 kluster ( 6 KTK), Khamis 15 April – 15 kluster ( 9 KTK) dan Jumaat 16 April – 7 kluster ( 3 KTK).

Perkembangan lain dalam negeri

Mengenai perkembangan mutakhir Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (Laporan Harian Pemberian Dos 1 Vaksin Mengikut Negeri) sehingga 15 April 2021 adalah seperti berikut:-

  • Dalam kurungan Jumlah Dos 2

Perlis 11,578 (9,473); Kedah 43,347 (26,062); Pulau Pinang 40,498 (31,535); Perak 54,056 (48,607); Selangor 93,829 (61,662); Kuala Lumpur 73,266 (37,962); Putrajaya 7,821 (4,557); Negeri Sembilan 33,172 (21,647); Melaka 19,080 (10,731) ; Kelantan 32,699 (19,501); Terengganu 30,695 (20,551); Pahang 41,760 (33,080); Johor 63,295 (30,781) ; Sabah 55,734 (42,972); Labuan 3,332 (2,319); Sarawak 67,427 (32,861).

Jumlah pemberian Dos 1 dan 2 adalah 1,105,890 (jumlah Dos 1 / 671,589 dan Jumlah Dos 2/ 434,301

Laporan Harian Jumlah Pendaftaran Vaksinasi sehingga 15 April 2021 menunjukkan seramai 8,834,823 individu, berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar.

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 15 April 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 15 April 2021 untuk seluruh negara kekal 1.17. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Terengganu 1.49, Kelantan 1.35 dan WP Putrajaya 1.25.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan bagi Johor, Selangor, WP Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan *, dan Sarawak berkuatkuasa 15 hingga 28 April 2021 kecuali Sarawak yang berkuatkuasa 13 hingga 26 April 2021.

Bagi Kelantan, tujuh (7) daerah/jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 16 April hingga 29 April 2021.

Sebanyak 10 negeri lain dikekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kedah, Perak, WP Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan WP Labuan, berkuatkuasa 15 April hingga 28 April 2021.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

Perincian kes COVID-19 di Malaysia

Berdasarkan perincian KKM mengenai 2,551 kes positif COVID-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 16 April 2021, sebanyak enam buah negeri mencatat kes harian baharu tiga angka, iaitu Sarawak 960 kes (3) Selangor 590 kes (4), WP Kuala Lumpur 245 kes (21), Kelantan 164 kes, Sabah 143 kes dan Johor 121 kes.

*( ) merujuk kepada kes import

Negeri mencatat kes dua (2) angka, Pulau Pinang 91 kes, Negeri Sembilan 53 kes, Perak 49 kes, Perak 49 kes, Pahang 47 kes, Kedah 35 kes, Melaka 28 kes, dan Terengganu 16 kes.

Sementara itu, tiga buah negeri mencatat kes harian baharu COVID-19 satu (1) angka iaitu WP Putrajaya 6 kes, Perlis 2 kes dan WP Labuan 1 (1 kes).

Menurut KKM, Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 960 kes (37.6 peratus). Sebanyak 892 kes (92.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 590 kes (23.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 245 kes (9.6 peratus).

Sementara itu, sebanyak dua (2) kes kematian dilaporkan hari ini (16 April), kedua-duanya dilaporkan di Selangor dan melibatkan warganegara Malaysia.

Ini menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,365 kes (0.37 peratus).

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 10 April hingga 16 April 2021 :-

8 kes WN (10 April ), 8 kes WN (11 April ), 4 kes WN (12 April), 12 kes WN (13 April), 8 kes – 7 WN 1 BWN (14 April), 10 kes – 9 WN 1 BWN (15 April) dan 2 kes – 2 WN (16 April).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Sebanyak 227 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 91 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Statistik global COVID-19

Jumlah kes COVID-19 global terkini (worldometer) adalah 139,817,738 (rangkuman minggu lalu 134,683,627 kes) dengan 3,002,422 kematian (minggu lalu 2,918,347 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 118,844,676 orang, berbanding 108,429,057 orang minggu lalu.

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Rusia, United Kingdom, Turki, Itali, Sepanyol, dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 32,224,484 kes (578,993 kematian),

India 14,291,917 kes (174,335 kematian);

Brazil 13,758,093 kes (365,954 kematian),

Perancis 5,187,879 kes (100,073 kematian),

Rusia 4,684,148 kes (104,795 kematian),

United Kingdom 4,380,976 kes (127,191 kematian),

Turki 4,086,957 kes (35,031 kematian);

Itali 3,826,156 kes (115,937 kematian),

Sepanyol 3,396,685 kes (76,882 kematian),

Jerman 3,095,016 kes (80,141 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 94 dengan 90,468 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 88 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Indonesia di tangga 19 minggu ini dengan 1,594,722 kes dan 43,196 kematian. Filipina di tangga 27 dengan 914,971 kes dan 15,738 kematian.

Myanmar di tangga 82 dengan 142,617 kes dan 3,206 kematian. Singapura di tangga 102 dengan 60,769 kes dan 30 kes kematian.

Sementara Thailand di tangga 111 dengan 39,038 kes dan 97 kematian; Kampuchea di tangga 162 dengan 5,480 kes dan 38 kematian; Vietnam di tangga 177 dengan 2,772 kes dan 35 kematian.

Brunei di tangga 200 dengan 221 kes dan angka kematian kekal tiga (3), sementara Laos di tangga 207 dengan 54 kes dan sifar kematian.

Ruangan sisi

Latar belakang COVID-19

  • Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
  • Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
  • Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
  • WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
  • Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
  • Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.
  • WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).
  • Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.
  • Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.
  • Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.
  • Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.
  • Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).
  • Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.
  • Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020. – BERNAMA