Bazar Ramadan ditutup jika berlaku jangkitan Covid-19

Tan Sri Annuar Musa

KETEREH: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menutup operasi mana-mana Bazar Ramadan di bawah seliaannya sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 di tapak bazar berkenaan, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Justeru beliau mengingatkan semua pihak terutamanya penganjur Bazar Ramadan di seluruh Wilayah Persekutuan untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

Advertisement

“SOP yang dikenakan itu wajiblah dipatuhi terutamanya dari segi bilangan pengunjung…tetapi nampaknya itu tidak dikawal sehingga menyebabkan penjarakan fizikal tidak menepati, mengikut apa yang kita mahukan.

Saya ingin ingatkan semua penganjur di 66 tempat di seluruh wilayah, bertanggungjawab supaya penganjuran bazar di tempat mereka dipatuhi 100 peratus kepada SOP yang kita tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan bagi Parlimen Ketereh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata antara SOP yang perlu diperbaiki dan dipatuhi adalah penganjur perlu memastikan pengunjung hanya boleh melalui satu laluan masuk dan keluar.

“Kita nak benarkan penganjuran bazar berterusan sehingga akhir Ramadan tetapi sekiranya pematuhan SOP masih diingkari dan dapati berlaku peletusan wabak atau jangkitan (COVID-19) di bazar berkenaan maka tempat itu akan ditutup,” katanya sambil mengingatkan perkara sama kepada penganjur Bazar Aidilfitri di sekitar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang akan dibuka semula pada 17 April ini.

Mengenai peningkatan kes Covid-19, Annuar berkata memandangkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan pusat aktiviti ekonomi beliau menggesa semua ketua komuniti di setiap perumahan serta kediaman untuk mengingatkan penduduk setempat supaya patuh kepada SOP antaranya mengurangkan pergerakan atau urusan di luar rumah sekiranya tiada kepentingan.

“Di samping itu, semua pihak juga perlu memainkan peranan untuk membendung penularan wabak ini,” katanya. – BERNAMA