Adab-adab ketika puasa di bulan Ramadan

- Advertisement -

SEORANG Islam yang sebenarnya, berpuasa di bulan Ramadan kerana Iman dan mengharapakan pahala dari Allah S.W.T. Iman telah memenuhi hatinya dan menjadikannya pengabdi sejati kepada Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:

- Advertisement -

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka diampuni baginya dosa-dosa yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka belajar dan mengetahui apakah batas-batas dan adab-adab puasa ke atas dirinya, dengan menjaga pandangannya, lisannya dan seluruh anggota tubuhnya dari melakukan pelanggaran yang merosak puasanya atau menghilangkan pahala puasanya.

Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Di ketika kalian sedang berpuasa, maka janganlah berkata kotor, janganlah berkata yang sia-sia, bila seseorang mencacimu atau menggangumu maka katakan lah, saya ini orang yang sedang berpuasa.”

(Shahih Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, dan melakukannya, maka Allah S.W.T  tidak perlu ia meninggalkan makanan dan minumannya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Seorang Islam yang beriman sentiasa ingat bahawa, Ramadan bukan seperti bulan-bulan yang lain tetapi satu bulan yang sangat istimewa. Bulan Ramadan bulan semua orang Islam diperintahkan berpuasa kecuali yang ada kelonggaran ke atasnya. Puasa ini untuk Allah S.W.T dan Allah S.W.T yang akan membalasnya dengan balasan yang tidak terbayang oleh fikiran kita.

Jangan sesekali kalian sia-siakan puasamu. Janganlah sampai kalian mendapat lapar dan dahaga sahaja, lalu kalian lepaskan pahala yang melimpah ruah di sisi Allah S.W.T dari amalan puasa kalian. Isilah amalan puasa kalian dengan amalan yang terbaik. Sentiasa berhati-hati dan teliti menekuni setiap adab-adab atau nilai-nilai yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W agar akhirnya kita mendapat anugerah takwa dari sisi Allah S.W.T dan berjaya menambah kualiti takwa kita. 

Adab pertama menjaga puasa di bulan Ramadan

(1) Menyegerakan berbuka.

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi ketika azan dikumandangkan maka segeralah untuk berbuka puasa kerana hal itu Sunnah. Selain itu Allah S.W.T juga lebih menyukai orang yang menyegerakan berbuka puasa.

Allah S.W.T berfirman dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:

“Hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah hamba-Ku yang menyegerakan berbuka.”

(Riwayat Tirmizi)

Puasa Ramadan yang telah disyariatkan Allah S.W.T kepada hamba-Nya adalah satu kebaikan dan dilakukan mengikut Sunnah. Puasa Ramadan juga dapat mendidik hati dan mengubah diri kita menjadi peribadi  yang bertakwa. Seperti sudah tertulis di dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Ketika seseorang itu berpuasa, ketika dia bersahur dan ketika dia berbuka, dia lakukan dengan iman dan takwa sebagaimana yang sudah dicontohkan oleh Nabi S.A.W. Dan dia tidak meninggalkan makan dan minumnya kecuali kerana perintah dari Allah S.W.T.

Di dalam Riwayat Bukhari, bermaksud:

“Seorang Muslim ketika berpuasa, dia meninggalkan makan, minum, syahwatnya kerana puasa untuk-Aku, dan Aku yang akan membalasnya, kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali lipat yang serupa dengannya.”

(2) Berbuka dengan kurma.

Anas bin Malik, mengatakan bahawa:

“Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma segar sebelum melaksanakan solat. Jika tidak ada maka Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma kering. Bila tidak ada juga, beliau akan berbuka dengan beberapa teguk air.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi) 

Selain kurma, air juga memainkan peranan penting untuk berbuka puasa. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W di dalam Hadis di bawah:

Dari Sulaiman bin Amir ad-Dhobbiy R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Apabila salah seorang dari kamu berbuka, maka berbukalah dengan kurma. Jika tidak menemukannya, berbukalah dengan air kerana air itu membersihkan.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Ini adalah perintah Nabi S.A.W, ikutlah Sunnah Nabi. Nabi S.A.W menyuruh para Sahabat berbuka dengan kurma, jadi kita berusahalah berbuka dengan kurma juga dengan membayangkan yang kita berbuka seperti Rasulullah S.A.W berbuka.

Sebenarnya Rasulullah S.A.W ingin mendidik hati umatnya agar tidak menjadikan Ramadan ini pesta makan dan balas dendam. Makan sebanyak-banyaknya dengan pelbagai jenis juadah dan hidangan. Yang difikirkan hanya perut sahaja, sedangkan Rasul S.A.W cuma berbuka dengan kurma, kemudian terus solat. 

Kemudian ingatlah sabda Rasulullah S.A.W mengenai kebahagian orang yang berpuasa, sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan. Kegembiraan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa Allah S.W.T.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dua kegembiraan itu meliputi di dunia dan di akhirat.

Pertamanya, kegembiraan di saat berbuka kerana: 

  1. Sudah berjaya melaksanakan perintah Allah S.W.T dan tidak melalaikan puasanya.
  2. Bersyukur di atas pertolongan Allah S.W.T kerana dapat menyempurnakan ibadah puasa, dapat makan dan minum sesudah menahan lapar dan dahaga di siang hari dan di Sunnahkan kita berdoa ketika berbuka, maksudnya:

“Rasa haus telah hilang, kerongkongan telah basah dan telah tetap pahala. InsyaAllah” 

(Doa ini riwayat Abu Daud, Ad-Daruquthni menyatakan sanadnya Hasan)

  • Dapat meraih pahala dari Allah S.W.T di atas ikhlasan dan kesabaran melaksanakan perintah Allah S.W.T, Insya-Allah.
  • Doa orang yang berpuasa itu tidak ditolak, sebagaimana dalam Hadis Riwayat Ibnu Majah (1753) dan dari Abdullah bin ‘Amr, maksudnya:

“Bagi orang berpuasa ketika berbuka,memiliki doa yang tidak tertolak.”

Keduanya, kegembiraan ketika berjumpa Tuhannya.

  1. Untuk mendapat darjat yang mulia di sisi Allah S.W.T di atas ganjaran  pahala puasa dan ganjaran kesabarannya dalam melaksanakan amal soleh dan perintah Allah S.W.T di sepanjang Ramadan, khusus dari Allah S.W.T dan Allah S.W.T sendiri yang akan memberikannya.

Firman Allah dalam Hadis Qudsi, maksudnya:

“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung.” 

(Hadis Riwayat Bukhari dalam Shahihnya 2/226 dari Abi Hurairah R.A)

2. Mendapat anugerah takwa dan keampunan dari Allah di atas melaksanakan ibadah puasa Ramadan.

3. Berdoa ketika berbuka.

Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tiga orang yang doa mereka tidak terhalang, iaitu imam (Pemimpin) yang adil, orang yang berpuasa hingga ia berbuka, dan orang yang dizalimi. Doa mereka dibawa ke atas awan dan dibukakan pintu langit untuknya, lalu Allah S.W.T berfirman, “Demi izzah-Ku, Aku akan menolongmu meski setelah beberapa waktu.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Rasul S.A.W mengatakan, bahawa doa orang yang berpuasa dan ketika berbuka adalah mustajab, yang tidak ditolak doanya oleh Allah S.W.T. Subhanallah. Jadi berdoalah. Dan kita tahu bahawa doa adalah buah ibadah. 

Diriwayatkan oleh At Tirmizi no 2969, Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:

“Doa itu merupakan buah daripada ibadah.” 

Yang dimaksudkan dengan ibadah ialah, apa-apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T dan ikut Nabi S.A.W. Berdoa dilakukan dengan penuh harap dan takut kepada Allah S.W.T. Dan orang yang berdoa itu, sebenarnya dia sedang memohon bantuan kepada Allah S.W.T, mengharap pada Tuhan yang esa. Inilah hakikat tauhid, iaitu mengharap dan takut hanya kepada Allah S.W.T semata-mata. Sebab itu dikatakan doa adalah senjata dan kekuatan orang beriman.

Doa merupakan jalan untuk mendekatkan seorang hamba dengan Tuhannya. Doa juga seolah-olah satu ruang privasi untuk meluahkan isi hati, di atas semua permasalahan hidupnya kepada Tuhannya yang Maha Mendengar. Jadi berdoalah, disiplinkan diri untuk memperbanyakkan doa di ketika waktu berpuasa dan berbuka.

Turunnya ayat mengenai berdoa ini di tengah-tengah ayat puasa maka marilah kita lihat sesuatu dari petunjuk Allah S.W.T ini yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(al-Baqarah: 186)

Dan lihat janji Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 9 yang bermaksud:

“… Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.”

Jadi kita mesti bijaksana merancang jadual pengisian puasa kita. Rancang masa untuk memasak berbuka dan bersahur, jangan sampai kita terperangkap menghabiskan masa dengan kesibukan memasak semata-mata sehingga tiada masa untuk berdoa. Hal itu berulang-ulang sehingga habis Ramadan. Apa yang kita dapat? Jangan sampai cuma mendapat lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan Allah S.W.T dah bagitahu dalam ayat 186 di atas, sesungguhnya Dia dekat dan mengkabulkan doa-doa orang yang memohon kepada-Nya.

Ketika hendak menyuap makanan, dahulukan dengan dengan nama Allah S.W.T. Bismillah. Ketika selesai makan dianjurkan bersyukur dengan nama Allah S.W.T, Alhamdulillah. Jadi apa sahaja yang kita buat, mesti ingat kepada Allah S.W.T.

Memang ibadah puasa ini mengajarkan kita, untuk menjadi hamba taat dan membaiki peribadi menjadi peribadi Muslim sejati. Maka tatkala mahu berbuka. Ingat! Kita kena banyak berdoa. Manfaatkan waktu untuk berdoa. Jom buat yang terbaik di Ramadan ini, walaupun selama ini, mungkin kita disibukkan, dengan sesuatu yang sia-sia dan melalaikan.

4. Mengakhirkan sahur.

Rasulullah S.A.W  telah memerintahkan makan sahur, kerana makan sahur banyak kebaikannya. Makan dan minum sahur sebelum sedikit terbitnya fajar.

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Sentiasa umatku berada dalam kebaikan selagi mana mereka mempercepatkan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur.”

(Riwayat Ahmad)

Juga Hadis Nabi S.A.W seterusnya:

Dari Anas bin Malik berkata, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Makan sahurlah kerana makan sahur itu berkat.”
 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahur mengingatkan seseorang kepada qiamullail, memperbanyakkan istighfar sementara menunggu bersahur, memberi semangat untuk ke masjid mendirikan solat Subuh berjamaah, sahur juga menguatkan badan untuk berpuasa dan sahur juga satu amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan membiasakan para Sahabat dengannya:

“Dari Anas bin Malik R.A bahawa Nabi S.A.W dan Zaid bin Tsabit R.A bersahur. Selepas selesai bersahur, Nabi S.A.W bangun dan bersolat. Kami berkata kepada Anas, “Berapa lama jarak antara keduanya (Jarak antara selesainya mereka berdua bersahur dan solat?)” lalu dijawab oleh Anas, “Sekitar seorang lelaki membaca 50 ayat al-Quran.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Jadi di waktu sahur jangan sekadar memikirkan makan sahaja tetapi bagi ruang untuk qiamullail, banyakkan istighfar dan mohon ampun kepada Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Adh Dhariyat ayat 15 hingga 18 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.”

“(Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.”

“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.”

“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”

5. Bersedekah.

Puasa Ramadan, mendidik  dan membina jiwa umat Islam dengan akhlak terpuji, iaitu dermawan dan tidak kedekut. Melaluinya, umat Islam sedar mengenai keutamaan berbuat kebajikan atau kebaikan, kerjasama, tolong menolong, dermawan, belas kasihan dan pelbagai akhlak mulia lagi. Dalam hal ini, syariat Islam sangat menitik beratkan sedekah atau amal mulia ini di dalam kehidupan seorang Muslim.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah ayat 261 maksudnya:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Sedekah dan Ramadan sangat sinonim antara satu sama lain. Oleh itu ada Hadis menyebut mengenai Rasulullah S.A.W , seorang manusia yang paling pemurah atau dermawan di bulan Ramadan.

Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A yang maksudnya:

“Adalah Rasulullah S.A.W seorang yang paling lembut (dermawan) dalam segala kebaikan. Dia seorang yang paling dermawan di bulan Ramadan ketika Jibril A.S datang menemui Beliau pada setiap malam di bulan Ramadan (Untuk membacakan al-Quran) hingga Quran selesai dibacakan untuk Nabi S.A.W. Apabila Jibril A.S datang menemui Beliau, maka Beliau adalah orang yang paling pemurah dalam segala kebaikan melebihi angin yang berhembus.”

(Shahih Bukhari no 1769)

Jadi ketika di bulan Ramadan ini, didiklah jiwa kita dengan memperbanyakkan sedekah, agar orang lain juga dapat merasai sedikit kelebihan yang kita ada, samada berupa wang ringgit, harta benda, makanan dan apa sahaja yang sesuai digunakan di sepanjang Ramadan ini untuk kehidupan mereka…

6. Solat Tarawih.

Solat Tarawih merupakan salah satu solat sunat yang khusus dilakukan pada bulan Ramadan sahaja dan tidak disunatkan mengerjakannya pada bulan-bulan yang lain. Solat Tarawih ini juga dinamakan juga solat malam (Solat Qiyam). Oleh itu Imam Al-Nawawi menyebut bahawa qiyam Ramadan itu adalah solat Tarawih.

Diriwayatkan daripada Abi Salamah bin Abd ar Rahman R.A bahawa dia bertanya:

“Aisyah R.A, bagaimanakah solat Baginda di bulan Ramadan?” maksudnya, “’(Aisyah R.A) menjawab, “Rasulullah S.A.W tidak menambah di bulan Ramadan atau di bulan yang lain lebih daripada 11 rakaat. Baginda solat 4 rakaat, jangan ditanya betapa eloknya dan panjangnya. Kemudian solat lagi 4 rakaat dengan cara yang elok dan panjang waktunya. Kemudian akhirnya Baginda solat 3 rakaat (Witir).”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bilangan rakaat solat Tarawih yang hendak dilaksanakan semuanya ada nas dan riwayat yang menyebut demikian. Maka tidak perlu bertelingkah dan berbahas di dalam masalah bilangan rakaat Tarawih. Kesemuanya ada kebaikan. Solat Tarawih boleh dilaksanakan bersendirian atau berjamaah, tetapi yang afdalnya berjamaah.

Apabila melakukannya, sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat, hendaklah dilakukan dengan penuh tenang dan khusyuk serta dapat menumpukan perhatian yang sewajarnya kepada bacaan yang dibaca oleh imam. Semuanya menuntut kepada niat yang ikhlas dan hati yang bersih serta mengharapkan redha dan keampunan Allah S.W.T dalam setiap ibadah yang kita lakukan.

7. Iktikaf.

Seorang hamba Allah yang beriman, perlu bersungguh-sungguh membebaskan dirinya dari belitan nafsu syahwat yang sentiasa menyuruh kepada kejahatan dan menghalang sifat-sifat yang baik terbina dalam diri seseorang. Nafsu syahwat perlu dikawal dan dijaga dengan baik supaya nafsu itu sentiasa terarah kepada mentaati Allah S.W.T.

Cara yang terbaik ialah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W iaitu dengan cara beriktikaf, dengan menyendiri dan mengurung diri sekejap dari kesibukan kehidupan dunia yang tidak kekal untuk sama-sama memikirkan mengenai kebesaran Allah S.W.T dan makhluk kejadian-Nya, membersihkan hati yang penuh dengan kekotoran (dengan zikrullah, bacaan Quran dan solat sunat) dan memuhasabah diri dengan memikirkan kembali apa-sahaja yang sudah kita lakukan di dalam kehidupan seharian, sekiranya ianya satu kesilapan, bertaubatlah dan seandainya, ia satu kebaikan maka istiqamahlah.

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Bahawa Nabi S.A.W beriktikaf pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadan secara berterusan sehingga Baginda diwafatkan oleh Allah S.W.T.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayat yang lain, Rasulullah S.A.W beriktikaf Pada 10 pertengahan dan 10 malam terakhir di bulan Ramadan sehingga beliau wafat dan kemudian diteruskan oleh isteri-isteri Baginda.

Adab kedua menjaga puasa di bulan Ramadan

Puasa di bulan Ramadan adalah satu masa terbaik untuk kita mendisiplinkan diri dan mental untuk meninggalkan kemaksiatan dan akhlak-akhlak terkeji yang mungkin sudah bersarang di dalam diri kita. Puasa sebagai benteng atau pelindung daripada neraka, iaitu terbenteng diri dari melakukan dosa.

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Puasa itu benteng, apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia (bercakap keji dan jahil), apabila seseorang memaki dan diajak bermusuhan maka hendaklah dia berkata, ‘Sesungguhnya aku berpuasa hari ini’.”

(Riwayat Muslim)

Ketika berpuasa, umat Islam juga dilarang melakukan hal-hal yang disebutkan di dalam Hadis di atas seperti apa yang dikatakan oleh Al-Qurtubi: 

“Benteng adalah penutup dan pelindung. Maka orang yang berpuasa itu mesti menjaganya dari perkara yang membatalkannya dan mengurangkan pahalanya.”

Ramai orang berpuasa tetapi rugi, tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Allah S.W.T juga, hanya akan memberikan keampunan dan pahala-Nya kepada mereka-mereka yang melakukan amalan yang soleh dan bersabar. Maksudnya, kita kena meninggalkan semua yang Allah larang dan tegah itu dengan sabar.

Firman Allah S.W.T dalam surah Hud ayat 11 yang bermaksud:

“Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”

Matlamat puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum sahaja, namun ia lebih jauh dari itu. Puasa adalah untuk membentuk peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah S.W.T, iaitu mengerjakan semua perintah Allah S.W.T dan meninggalkan semua yang dilarang-Nya.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Kesimpulan

Puasa sebenarnya menyedarkan umat Islam kepada pentingnya memenuhi diri dengan ilmu. Tanpa ilmu umat Islam akan kehilangan cahaya dan arah dalam melalui kehidupan ini. Umat Islam akan hilang izzah atau rasa mulia diri sebagai seorang Muslim, dan yang lagi malangnya umat Islam akan kehilangan rasa kemanisan iman dalam melaksanakan setiap perintah Allah S.W.T dan hilang rasa takut kepada Allah S.W.T.

Masih belum terlambat, sebab pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi sesiapa sahaja yang mahu kembali kepada Tuhannya dan belum terlambat lagi untuk kita terus belajar untuk faham mengenai cara hidup Islam itu sendiri. Moga puasa di Ramadan 1442 ini akan merubah seluruh cara hidup kita dan cara berfikir kita mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W dan rasa kehambaan yang sebenarnya kepada Allah S.W.T.

Diakhiri dengan surah Al Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Wallahu ‘lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -