Kedah tangani pelanggaran Ramadan, kegiatan judi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah memberikan perhatian serius terhadap kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan dan kesalahan berjudi bagi seluruh umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Brig Jen (B) Dato’ Ustaz Najmi Ahmad berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama. 

- Advertisement -

Jelas beliau, tindakan di seluruh negeri ini akan melibatkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 menyentuh kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan

“Menurut Seksyen 14, Tidak menghormati bulan Ramadan telah menyatakan bahawa; Mana-mana orang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan. 

“Sama ada menjual kepada orang Islam makanan, minuman, rokok atau benda yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu. 

“Atau secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya. 

“Juga mengulangi kesalahan-kesalahan di atas untuk kali kedua atau berikutnya. Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda,” ujarnya. 

Katanya, mereka yang disabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. 

Manakala bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya beritahu beliau, boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Menyentuh isu judi tegasnya, ia adalah suatu kegiatan yang amat bertentangan dengan fitrah manusia di mana semua agama melarang penganutnya mendekati judi. 

Bagi umat Islam peringatnya, larangan ini jelas berdasar ayat 90 surah al-Maidah di mana penegasan sama terdapat dalam Sekyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014. 

“Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit. 

“Atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Dalam seksyen ini, ‘rumah judi’ ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai. 

“Samada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran kemahiran dan nasib. 

“Sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang,” ujarnya menggaris peraturan itu. 

Maka, sempena bulan Ramadan Mubarak ini, pihak kerajaan katanya, ingin menyeru kepada semua umat Islam di negeri Kedah khususnya untuk mematuhi peraturan yang ada ini. 

Pihak kerajaan negeri juga menurutnya, melalui pihak penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah akan sentiasa memastikan supaya kegiatan perjudian ini akan terus dipantau dengan kerjasama agensi-agensi lain. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -