Allahumma balighna Ramadan

- Advertisement -

HANYA tinggal beberapa hari lagi, Syaaban akan meninggalkan kita, terasa cepatnya masa berlalu dan sudah hampir setahun pula kita meninggalkan Ramadhan. Sebagai ganti, Allah S.W.T akan menggantikannya dengan bulan Ramadan, bulan yang ditunggu-tunggu kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan bulan yang diperintahkan kita berpuasa sepanjang. Semua perintah Allah S.W.T, adalah untuk kebaikan hamba-Nya dan semua larangan Allah S.W.T, semuanya pasti berbahaya untuk hamba-Nya.

Ketika akan menjelang Ramadan semua ustaz-ustaz, ustazah-ustazah dan penceramah-penceramah akan mengulang-ulangi kembali mengenai keutamaan bulan Ramadan dan mengenai persiapan-persiapan yang perlu disediakan menjelang kedatangan Ramadan. ‘Allahumma balighna Ramadan’ Semoga Allah menyampaikan kita semua ke bulan Ramadan yang hanya berbaki beberapa hari lagi.

- Advertisement -

Mu’alla bin Al Fadhl, salah satu ulamak tabi’ut tabi’in berkata, “Dulu para Sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah S.W.T mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah S.W.T menerima amal mereka selama bulan Ramadan.”

(Lathaif Al Ma’arif, hlm 264)

Di antara doa yang dicontohkan para Salaf adalah apa yang diriwayatkan dari Yahya bin Abi Kathir yang bermaksud: 

“Ya Allah, sampaikanlah aku hingga ke bulan Ramadan (Allahumma balighna Ramadan) dan sampaikanlah Ramadan kepadaku dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadan.”

(Lathaif Al Ma’arif, hlm 264)

Kenapa mesti berdoa? Sebab bagi yang masih hidup pada hari ini, belum tentu lagi dapat bertemu Ramadan yang ditunggu-tunggu ini. Berapa ramai yang sudah kita lihat di Ramadan sebelum ini, meninggal dan tidak sempat bersama bulan Ramadan.

Sekarang kita berada di penghujung bulan Syaaban, beberapa hari lagi akan timbul bulan Ramadan. Ada banyak keutamaan bulan Syaaban yang sebahagian orang lupa. Ada doa apabila kita melihat hilal, (bulan sabit) ada doanya untuk semua bulan, jangan kita tidak pernah berdoa. Adakah wajib berdoa bila melihat hilal ini? Tidak. Apakah kalian wajib berdoa bila melihat sesuatu yang mengkagumkan kalian? Seperti melihat rumah besar, kereta mewah dan lain-lainnya. Cuma sekadar berharap akan dapat memilikinya dan menikmati kelebihannya. Begitu juga seperti kita melihat bulan sabit.

Berikut ini adalah hadis yang menyebutkan doa yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W ketika melihat hilal:

اللهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالأَمْنِ (وفي رواية بِاليُمْنِ) وَالإِيمَانِ، وَالسَّلامِ وَالإِسْلامِ، وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ وَ تَرْضَى، رَبِّي (وفي رواية رَبُّنَا) وَرَبُّكَ اللَّهُ

“Allah maha besar. Ya Allah, jadikanlah ini bulan ‘membawa’ keamanan (lain riwayat keberuntungan), keimanan, keselamatan, keislaman, petunjuk bagi amal yang Kau suka dan restui. Tuhanku (Tuhan kami) dan Tuhanmu adalah Allah.”

(Hadis Riwayat Ad-Darimi dan Ibnu Hibban)

Ada banyak keutamaan bulan Syaaban yang sebahagian orang lupa. Di antara kelebihan bulan Syaaban ialah:

(1) Ada beberapa Hadis Shahih yang menunjukkan keistimewaan di bulan Syaaban, di antara amalan tersebut adalah memperbanyak puasa Sunnah selama bulan Syaaban yang bermaksud:

“Dari Aisyah R.A, beliau mengatakan: “Terkadang Nabi S.A.W puasa beberapa hari sampai kami katakan, ‘Beliau tidak pernah tidak puasa, dan terkadang beliau tidak puasa terus, hingga kami katakan: Beliau tidak melakukan puasa. Dan saya tidak pernah melihat Nabi S.A.W berpuasa sebulan penuh kecuali di bulan Ramadan, saya juga tidak melihat beliau berpuasa yang lebih sering ketika di bulan Syaaban.”

(Hadis Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

(2) Diangkatnya amal perbuatan manusia kepada Allah S.W.T. Sebagaimana dalam Hadis yang bermaksud:

Rasulullah S.A.W pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid R.A: “Wahai Rasulullah, saya tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam suatu bulan seperti berpuasa bulan Syaaban? Rasulullah S.A.W menjawab: Bulan tersebut bulan yang sering dilupakan oleh orang-orang, bulan itu berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Padahal di bulan tersebut, amal-amal perbuatan manusia diangkat ke Tuhan semesta alam (Allah S.W.T), dan saya senang amal perbuatan saya diangkat sementara saya dalam keadaan berpuasa.””

(Hadis Riwayat An Nasa’i)

Bulan ini ini dikenal dengan bulan Syaaban. Dinamakan demikian kerana banyak faktor, salah satunya kerana bulan ini berada di antara dua bulan mulia (Rejab dan Ramadan) yang menjadi fokus perhatian umat Islam untuk tidak berlalu begitu saja tanpa diisi dengan berbagai macam ibadah. Bulan ini sekalipun terjepit di antara dua bulan yang di dalamnya dipenuhi kesibukan ibadah bukan bererti ia tidak memiliki keistimewaan sehingga harus dilupakan. Dan beribadah di waktu-waktu orang lalai dan lupa, Allah S.W.T akan beri pahala yang besar.

Ramai orang menginginkan sampai ke bulan Ramadan tetapi lupa mengenai keistimewaan bulan Syaaban. Apakah kita sudah bersedia amalan kita diangkat pada bulan ini?. Jangan-jangan kita belum bersedia atau tidak peduli.

Allah S.W.T memerintahkan kita supaya berlumba-lumba seperti pesanan Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Bersegera ke mana? Lari menuju Allah S.W.T untuk mendapatkan:

(1) Keampunan Allah S.W.T.
(2) Syurga Allah S.W.T.

Apakah sudah kita lakukan? Muhasabah diri! Kalau kita kenal Allah S.W.T dan dekat dengan Allah S.W.T, hidup kita akan tenang. Apa sahaja masalah dalam diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita atau di mana sahaja, kita yakin bahawa Allah S.W.T pasti akan menurunkan bantuan dan jalan keluar kepada kita.

Maka bersegeralah dan lipat gandakanlah usaha kita. Ke mana? Kepada keampunan Allah S.W.T dan kepada syurga Allah S.W.T yang Allah S.W.T sediakan. Untuk siapa? Untuk semua orang? Bukan! Hanya untuk orang yang Allah S.W.T cintai, iaitu orang yang bertakwa.

Siapa yang tidak ingin mendapatkan cinta Allah S.W.T? Kenikmatan apapun di dunia ini tidak ada yang dapat menyamai nikmatnya ketika kita dicintai Allah S.W.T. Betapa beruntungnya mereka yang terpilih sebagai hamba yang dicintai-Nya.

Bagaimana, kalau Allah S.W.T cinta kepada kalian? Lihatlah apa yang Rasulullah S.A.W nyatakan dalam Hadis di bawah yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah R.A berkata, “Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala jika mencintai seseorang, maka Allah akan memanggil Jibril, ‘(wahai Jibril) Sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah dia, sehingga Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi.””

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ada yang bertanya, bagaimana cara agar dicintai Allah S.W.T?

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Hamba yang paling dicintai Allah S.W.T adalah yang paling baik akhlaknya.”

Jadi kita kena bersegera menuju Allah S.W.T, jangan kita bersegera menuju Allah S.W.T di ketika kita ada keperluan sahaja, atau di ketika kita susah dan inginkan pertolongan dari Nya tetapi kita bersegera menuju Allah S.W.T di sepanjang hidup kita.

Di dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dijelaskan pesanan Rasulullah S.A.W kepada Abdullah bin Abbas agar Allah S.W.T selalu menjaganya:

 “Kau kenali Allah S.W.T ketika engkau senang, maka Allah S.W.T akan mengenali engkau ketika engkau susah.”

Sebagai hambatentunya tidak baik jika kita hanya mengingat Allah ketika dalam keadaan susah atau di saat ditimpa musibah. Sebagai orang yang beriman, kita harus sentiasa mengenal Allah S.W.T dan mendekatkan diri kepada-Nya baik saat senang ataupun sedih dan selama-lamanya. Maka bersegeralah menuju Allah S.W.T dengan mengharapkan keampunan-Nya dan memohon kekuatan dari-Nya untuk membuat persiapan menjelangnya Ramadan.

Ramai yang mempersoalkan, kita belum tentu akan hidup sampai Ramadan. tetapi kenapa harus membuat persiapan Ramadan? Ya, ada betulnya hal ini ditanya, tetapi cuba tanya dirimu, “Aku belum tentu akan hidup sampai tahun depan atau sampai usia tua, tetapi kenapa mesti buat persiapan, membina rumah contohnya?”

Jadi untuk Ramadan pun begitu juga, kalian harus membuat persiapan? Seandainya mati sebelum datangnya Ramadan, kalian mati di atas jalan yang mulia.

Apa yang harus kita persiapkan untuk menghadapi Ramadan?

(1) Melahirkan di dalam hati mengenai pentingnya bulan Ramadan dan pengisiannya.

Kalau ada tetamu yang akan datang ke rumah kita, kita akan bersihkan rumah untuk menyambut tetamu itu. Dan begitu juga dengan kedatangan bulan Ramadan, mesti kita juga akan membuat persiapan untuk menyambutnya: 

Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, maksudnya:

“Ketika masuk bulan Ramadan maka syaitan dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi setiap kita, hendaklah bersihkan diri dan perbaiki hubungan dengan Allah S.W.T dengan Taubat Nasuha seperti firman Allah dalam surah At -tahrim ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”

Inilah saatnya kita bertaubat dari kesilapan-kesilapan dan dosa yang lepas. Mungkin kita sudah berkali-kali memohon ampun kepada Allah S.W.T, namun terjebak dan terjebak lagi dengan dosa dan maksiat. 

Contohnya bagi sesiapa yang masih terjebak dengan dosa-dosa makan riba, rasuah, mengumpat, memfitnah, tidak menutup aurat dengan sempurna, tidak menjaga batas-batas aurat dengan yang bukan mahram (seperti bersalaman) dan lain-lain dosa. 

Ramai merasakan hal ini tidak berdosa dengan pelbagai alasan berupa kepentingan diri. Jadi kebodohan mengenai ilmu agama menjadikan kita melanggar perintah Tuhan dan tidak merasa itu satu dosa.

Jadi inilah waktunya untuk kita bertaubat dengan sebenar-benarnya bertaubat. Membersihkan diri dan hati sebersih-bersihnya sebelum menjelangnya Ramadan.

Kita wajib belajar, pelajari ilmu mana yang wajib, yang haram, yang Sunnah, yang makruh dan yang harus. Kita perlukan ilmu untuk tahu yang mana dosa dan yang mana pahala. Hanya orang yang takut kepada Allah S.W.T di kalangan hamba-hambanya, adalah orang yang berilmu. Orang yang berilmu adalah ulamak. Orang yang mengerti dan faham sahaja, yang akan ada rasa takut melakukan dosa dan maksiat. Inilah masanya untuk berubah.

Setiap kita berperanan menegakkan agama Allah S.W.T, di sudut mana kita berada. Kalau kita mampu menyumbangkan harta dan wang ringgit, silakan. Kalau kita boleh menulis, silakan kerana dakwah itu bukan melalui ceramah sahaja, agar semua orang di sekitar kita, terutama orang Islam tahu mengenai Islam itu sendiri, mengenai iman dan ehsan dan juga mereka tahu kelebihan puasa Ramadan.

Belajar juga mengenai al-Quran, sebab al-Quran diturunkan di bulan Ramadan. Awal perubahan berlaku dahulu, dimulai di bulan Ramadan. Jadi kita harus memulakan perubahan di dalam hidup kita di bulan Ramadan. Baca petunjuk Allah S.W.T ini dan mengkajinya agar kita dapat tahu apa yang ingin Allah S.W.T kehendaki dari kita. Orang-orang yang mempelajari al-Quran dan Hadis dengan pemahaman yang benar, mereka adalah orang yang berilmu dan memiliki rasa takut yang sebenarnya kepada Allah S.W.T. Dan ilmu sangat perlu untuk kita bermuhasabah diri.

Di saat inilah, kita duduk sebentar, melihat kembali adakah amal-amal kita sebelum ini diterima Allah S.W.T atau tidak. Kerana syarat di terima amalan itu, mesti ikhlas kerana Allah S.W.T dan apa sahaja amalan yang kita lakukan itu mesti sesuai dengan ajaran Rasulullah S.A.W. Jadi kena perbaiki diri dan belajar.

Salah satu persediaan untuk Ramadan adalah membicarakan soal solat. Perlu diperbaiki kualiti solat kita, bukan solat sekadar ‘asal solat’ tanpa melihat kepada adab-adab melaksanakan solat yang sempurna mengikut solat Nabi S.A.W seperti ancaman Allah S.W.T dalam surah al Maun ayat 4 dan 5 yang bermaksud:

“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang”

“(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

Ada di kalangan kita, kekadang sudah berumur 60 tahun. Tetapi pernahkan kita memikirkan solat yang kita dirikan selama ini, diterima Allah S.W.T atau tidak. Kita hanya menganggap, Allah S.W.T terima sebab kita sudah lakukan macam yang sudah kita pelajari di sekolah dulu.

Sungguh dahsyat, jika kita rajin melaksanakan solat, namun tidak memperhatikan rukun-rukunnya dengan baik, dari mula berwudhuk, takbir hingga salam:

“Sesungguhnya (ada) seseorang yang solat selama 60 tahun, namun tidak ada satu solat pun yang diterima. Barangkali orang itu menyempurnakan rukuk tapi tidak menyempurnakan sujud. Atau menyempurnakan sujud, namun tidak menyempurnakan rukuknya.”

(Hadis Hasan Riwayat Al Ashbahani dalam At-Targhib, lihat Ash Shahihah no 2535)

Ini cerita Nabi S.A.W. Rasul S.A.W tidak berbicara soal niat, kerana yang layak menilai niat itu siapa? Allah! dan kita sendiri yang tahu. Tetapi Nabi S.A.W membicarakan soal peraturan solat atau kesempurnaan solat itu sendiri seperti Hadis Nabi S.A.W di bawah:

“Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah S.A.W masuk ke masjid, kemudian ada seorang laki-laki masuk masjid lalu solat. Kemudian mengucapkan salam kepada Nabi S.A.W. Beliau menjawab dan berkata kepadanya“Kembalilah dan ulangi solatmu kerana kamu belum solat! Maka orang itu mengulangi solatnya seperti yang dilakukannya pertama tadi. Lalu datang menghadap kepada Nabi S.A.W dan memberi salam. Namun Beliau kembali berkata: “Kembalilah dan ulangi solatmu kerana kamu belum solat! Beliau memerintahkan orang ini sampai tiga kali hingga akhirnya laki-laki tersebut berkata, “Demi Dzat yang mengutus anda dengan hak, aku tidak bisa melakukan yang lebih baik dari itu. Maka ajarkanlah aku!” Beliau lantas berkata: “Jika kamu berdiri untuk solat maka mulailah dengan takbir, lalu bacalah apa yang mudah buatmu dari al-Quran kemudian rukuklah sampai benar-benar rukuk dengan thuma’ninah (tenang), lalu bangkitlah (dari rukuk) hingga kamu berdiri tegak, lalu sujudlah sampai hingga benar-benar thuma’ninah, lalu angkat (kepalamu) untuk duduk hingga benar-benar duduk dengan thuma’ninah. Maka lakukanlah dengan cara seperti itu dalam seluruh solat (rakaat) mu.” 

[Hadsi Riwayat Bukhari (793), Muslim (397)]

Ketika orang tersebut sangat memerlukan kepada ilmu dan jiwanya sangat menginginkan hal tersebut serta hatinya siap menerima nasihat setelah ia melakukan solat berulang-ulang, maka dia mengharapkan Nabi S.A.W mengajarnya ilmu mengenai solat. Jadi jangan diremehkan soal solat ini, belajar semula dan perbaiki kualiti solat kita.

Jadi kalau yang pertama tadi kita belajar mengenai mana yang halal, mana yang haram, mana yang wajib, mana yang sunat dan mana yang makruh. Jadi yang kedua ini, belajar untuk menyempurnakan solat. Jadi bagi yang sudah solat, Alhamdulillah dan lihat kembali, adakah solat kita benar-benar di terima atau tidak seperti panduan di bawah.

Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna? Iaitu solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan sunnah-sunnahnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan.

Ciri-ciri solat yang sempurna ialah:

1. Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah sebagaimana solat Nabi S.A.W.

2. Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib, sopan dan tidak tergesa-gesa).

3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat terutamanya ayat-ayat al-Quran.

4. Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.

5. Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak lalai atau alpa.

Semoga di bulan Ramadan tahun ini, kita dapat melaksanakan solat-solat fardu dan sunah kita (Tarawih dan lain-lain) dengan sempurna.

(2) Belajar bersihkan hati.

Kita harus bersihkan hati kita, untuk menjadi orang yang bertakwa. Kerana bulan Ramadan itu madrasah bagi orang yang bertakwa. Madrasah Ramadan ini perlukan persiapan di diri kita. Kita persiapkan diri kita untuk lebih bertakwa, kepada Allah S.W.T, sehingga kita dapat melalui setiap ujian madrasah Ramadan dan lulus. Sebab ada orang, masuk Ramadan dan keluar seperti tidak puasa dan tanpa ada takwa di hatinya. Dia sekadar menghabiskan waktu dengan sia-sia. Apa yang dia dapat selepas sebulan Ramadan?

Lihat Hadis Nabi S.A.W di bawah yang bermaksud:

“Berapa ramai orang berpuasa yang tidak mendapatkan apa-apa kecuali lapar dan dahaga sahaja.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah no 1690)

Mereka berpuasa tetapi tidak meninggalkan yang diharamkan Allah S.W.T. Mereka hanya menganggap bahawa puasa itu sekadar menahan diri dari yang membatalkan puasa sahaja. Mereka termasuk orang yang celaka seperti Hadis Nabi S.A.W di bawah:

“Abu Hurairah meriwayatkan, “…dan celakalah seseorang, bulan ramadhan menemuinya kemudian keluar sebelum ia mendapatkan ampunan…””

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Setiap kita kena tahu apakah tujuan Allah S.W.T perintahkan kita berpuasa di bulan Ramadan iaitu untuk menjadikan kita orang yang bertakwa. Jangan sampai selesai Ramadan, tidak bertambah takwa kita, bacaan Quran kita tidak bertambah banyak, solat sunatnya pun tidak bertambah banyak, sedekah, zikir dan doa kita juga tidak bertambah. Jadi kena bersihkan diri dan hati sebelum datangnya Ramadan.

(3) Belajar menghubungi silaturrahim.

Ada apa dengan silaturrahim? Bulan Syaaban bulan diangkatnya amal perbuatan, ingat! Ada dua orang amalannya tidak diangkat, dosanya tidak diampuni. Siapa? Orang yang melakukan syirik, tidak akan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T dan orang yang bermusuhan. Ini ada disebut di dalam Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim R.A dan Bukhari R.A di bawah yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis, maka diampunkan setiap hamba yang tidak berbuat syirik kepada Allah S.W.T sedikit pun dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai.”

[Riwayat Muslim, 4652]

Allah S.W.T tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah S.W.T akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggalkan sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah Hadis yang melarang kita daripada sifat dengki ini yang bermaksud:

“Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah S.W.T yang bersaudara.”

[Riwayat al-Bukhari, no. Hadis 5612]

Jadi jangan diputuskan hubungan kerabat di antara kita terutama hubungan adik beradik, perbaiki hubungan dan saling memaafkan. Siapa yang tidak pernah berbuat salah? Tidak ada! Maka biasalah ada orang yang menyakiti hati kita dan kita menyakitkan hati orang lain, wajar! Tapi kita tidak perlu simpan dendam itu. Tak perlu simpan permusuhan itu. Kenapa? Kerana Allah akan menangguhkan keampunan-Nya.

Menjaga silaturahim adalah tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah S.W.T. Sebagaimana dalam Hadis yang diriwayatkan yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhir maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim. Menjalin silaturahim juga adalah salah satu cara meningkatkan akhlak terpuji.”

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan dan mereka takut kepada Rabbnya dan takut kepada hisab yang buruk.”

(ar-Ra’d: 21)

Bersempena Ramadan yang bakal datang ini, mari kita sama-sama perbaiki dan mengetepikan segala persengketaan, perselisihan faham dan ideologi politik masing-masing bagi menghubungkan semula tali silaturahim sesama kita, kaum kerabat dan dengan orang lain.

(4) Belajar segera membayar hutang puasa.

Sekiranya masih ada puasa yang belum dibayar, suami isteri harus saling membantu, suami puasa sunat dan isteri puasa ganti. Jadi kenapa adanya puasa Syawal? Dengan adanya puasa Syawal, orang yang ada tertinggal puasa Ramadannya boleh segera bayar hutangnya dan di dalam masa yang sama, dia boleh mengambil sunat puasa Syawal. Tapi kalau sampai sekarang belum habis bayar, kena bayar sebelum datangnya Ramadan. 

(5) Belajar banyakkan bacaan Quran.

Kita lihat ulamak-ulamak, kenapa sebahagian dari mereka boleh katam tiap-tiap hari? Imam Syafie, kalau bulan Ramadan beliau khatam, sehari dua kali. Kenapa boleh jadi gitu? Sebab sebelum Ramadan beliau sudah buat persiapan. Sebab itu bagi sesiapa yang tidak latih baca dari awal, sampai Ramadan, baca dua muka surat pun sudah rasa lelah. Jadi buat persediaan dari sekarang.

(6) Belajar menghidupkan malam kita dengan ibadah dan tahajjud.

Setiap kita orang Islam kena faham bahawa ibadah yang terbanyak dilakukan oleh umat Islam adalah di bulan Ramadan. Bila disebut Ramadan, maka akan teringat dengan solat Tarawih dan solat lain di malam hari. Ia satu yang sudah dimaklumi oleh masyarakat Islam.

Jadi mulai dari sekarang, perlahan-lahan menghidupkan malam-malam kita dengan solat malam dan qiamullail selepas bangun dari tidur. Allah S.W.T akan sediakan ganjaran besar untuk sesiapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan nanti sebagaimana Hadis Nabi S.A.W di bawah yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendirikan (Malam Di bulan) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap (Ganjaran Allah), akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” 

(Riwayat Bukhari)

Bukan dengan habisnya Ramadan kita berhenti dari solat malam. Dari sekarang kena buat, paling tidak tiga rakaat witir sebelum tidur.

(7) Belajar banyakkan berdoa.

Kerana bulan Ramadan, bulan berdoa bermaksud:

“Dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda; “Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman, “Siapa saja yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.”

(Hadis Riwayat Bukhari, no. 1145 dan Muslim, no. 758)

“Ibnu Hajar juga menjelaskan Hadis di atas dengan berkata, “Doa dan istighfar di waktu sahur mudah dikabulkan.””

(Fath Al-Bari, 3: 32)

Daripada sekarang sudah mulai mesra doa. Contohnya, antara azan dan iqamat banyakkan berdoa, kekadang satu minit sudah habis berdoa, dan tidak tahu nak minta apa lagi. Jadi ambil doa-doa dari al Quran dan Hadis, baca dan hafalkan. Kumpulkan banyak-banyak doa, beli buku doa, kalau tak boleh hafal sekurang-kurang kalian boleh baca. 

Doa, jangan sekadar meminta hal-hal dunia sahaja, kenapa tidak minta hal yang lebih besar seperti, minta syurga firdaus, terselamat dari neraka, tetapkan hati, beri hati yang sabar dan bersyukur dan lain-lain doa lagi.

(8) Belajar iktiqaf.

Latih diri dengan duduk antara waktu Maghrib dan Isyak di masjid tanpa balik ke rumah. Dan di waktu Subuh duduk di masjid hingga waktu syuruk tanpa balik ke rumah, bakikan sedikit dalam 12 minit, dirikan solat sunat Dhuha atau yang lain-lain untuk mendapatkan pahala haji dan umrah. Tetapi biasanya habis solat, langsung pulang.

Belajar untuk memutuskan hubungan dengan dunia luar buat sementara, fokus pada ibadah dan muhasabah diri. Kena dibiasakan dari sekarang. ‘Alah bisa tegal biasa’. Bila masuk Ramadan, kalian sudah berlari kepada Allah S.W.T dalam pelbagai amalan-amalan terbaik. Kenapa? Sebab pintu syurga sedang dibuka, takkan tak nak lari ke sana… seperti perintah Allah S.W.T dalam ayat di bawah:

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ 

“(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat)…”

(Azzariyat: 50)

(9) Belajar puasa sunnah.

Alhamdulillah, sekarang kalian belajar puasa sunnah Syaaban. Nabi S.A.W sangat banyak berpuasa di bulan ini. Rasulullah S.A.W pernah berpuasa 30 hari penuh di bulan Syaaban untuk mempersiapkan diri memasuki bulan suci Ramadan. Puasa Syaaban merupakan salah satu puasa sunnah yang utama kerana di bulan inilah amalan-amalan baik diangkat kepada Allah S.W.T.

Bagi sesiapa yang tidak biasa puasa sunnah, apabila tiba Ramadan, ketika berbuka dia teringin nak makan semua dan beli bermacam-macam makanan dan minuman, sedangkan itu cuma kehendak nafsu semata-mata. Tetapi bagi sesiapa yang sudah biasa, dia biasa-biasa sahaja, berbuka dengan kurma dan air pun sudah mencukupi. 

(10) Belajar beri makan orang berpuasa.

Hal itu sebagaimana yang diriwayatkan dalam Hadis Riwayat Tirmidzi mahupun Ibnu Majah, Ahmad dan Al-Hafizh Abu Thahir yang bermaksud:

Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”

Belajar bagi makan orang berpuasa dari sekarang seperti, mengajak kawan-kawan datang rumah makan malam atau sarapan, mendatangi masjid dan melihat kalau ada majlis berbuka puasa atau program jamuan makan, kalian bagi tahu panitia yang kalian ingin menyumbang sama. Belajar sedekah setiap hari dengan membuat tabung sendiri di rumah, jadi setiap pagi masukkan duit di tabung itu, untuk kita dermakan nanti. Bersedekah bukan hanya untuk orang kaya, tapi untuk semua sama ada orang kaya, miskin, pelajar dan sebagainya.

Rasul kita S.A.W teladan terbaik bagi kita, beliau adalah orang yang paling dermawan, dan kedermawanan beliau lebih dahsyat lagi di bulan Ramadan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas R.A yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah S.A.W melebihi angin yang berhembus.”

(Hadis Riwayat Bukhari, no.6)

Dari Hadis di atas diketahui bahawa Rasulullah S.A.W pada dasarnya adalah seorang yang sangat dermawan. Ini juga ditegaskan oleh Anas bin Malik R.A yang bermaksud:

“Rasulullah S.A.W adalah orang yang paling berani dan paling dermawan.”

(Hadis Riwayat Bukhari no.1033, Muslim no. 2307)

Namun bulan Ramadan, beliau lebih dermawan lagi. Bahkan dalam Hadis, kedermawanan Rasulullah S.A.W dikatakan melebihi angin yang berhembus, sangat ringan dan cepat dalam memberi, tanpa banyak berfikir, sebagaimana angin yang berhembus cepat serta terus-menerus.

(11) Umrah Ramadan.

Umrah Ramadan pahalanya seperti, haji bersama Rasulullah S.A.W, sekarang haji sangat lama untuk menunggu gilirannya, jadi daftarlah untuk umrah Ramadan. Siapkan diri untuk umrah Ramadan.

(12) Belajar meninggalkan jamuan makan. 

MasyaAllah, jarakkan waktu makan, dan hindarkan menghadiri jamuan makan. Jangan jadikan, bulan Ramadan bulan pesta makanan tetapi jadikan bulan Ramadan bulan pesta ibadah.

Kesimpulan

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.”

Alhamdulillah, semoga kita akan sentiasa istiqamah dalam menegakkan kebaikan dan menasihati agar semua orang menjauhi kemungkaran.

Wallahu‘aklam.

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -