Usaha lahir kegemilangan YPTIK jadi kenyataan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usaha untuk mengembalikan era kegemilangan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) bukan sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun YPTIK yang ditubuh pada 1965 oleh kerajaan PAS akhirnya diserap menjadi Akademi Islam Universiti Malaya pada 1981 selepas Umno menguasai Kelantan pada 1978.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, komitmen kerajaan PAS Kelantan mewujudkan institusi pengajian tinggi Islam bermula sejak 1959.

Katanya, usaha itu bagi memperkasakan bidang pendidikan agama di Kelantan.

- Advertisement -

“Dan selepas PAS sekali lagi mentadbir Kelantan pada 1990, antara perkara pertama yang dilakukan mengembalikan kegemilangan YPTIK.

“Ia bermula dengan kelahiran Maahad Dakwah wal Imamah pada 1994 kemudian dinaik taraf kepada KIAS pada 1999,” katanya pada program ‘Bicara Siasah’ yang disiarkan melalui Facebook Legasi Tok Guru malam semalam.

Minggu lepas Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad menyampaikan sijil naik KIAS kepada Kolej Universiti.

Dr Mohamed Fadzli berkata, usaha kerajaan negeri tidak pernah terhenti untuk memiliki sebuah institusi pengajian agama sehingga lahirnya Maahad Dakwah wal Imamah sebelum dinaiktaraf menjadi KIAS.

“Kita pernah kehilangan satu institusi pengajian tinggi Islam yang sangat hebat pada 1981 selepas YPTIK diserap menjadi sebahagian Universiti Malaya.

“Jadi KIAS sekarang sudah mendapat status Kolej Universiti merupakan satu kejayaan besar bagi rakyat dan juga kerajaan negeri.

“Ini satu penantian mengembirakan sejak 12 tahun lalu. Perjuangan ini sudah bermula lama ketika Dato’ Mohd Amar Abdullah memegang portfolio pendidikan sejak 12 tahun lalu.

“Ia merupakan berita yang mengembirakan semua orang bukan sahaja rakyat Kelantan dan orang luar pun berasa gembira dan ini sebenarnya kejayaan kita bersama,” katanya.

Menurutnya juga kejayaan mendapat status kolej universiti membolehkan KIAS menawarkan pengajian ijazah sarjana muda sehingga ke peringkat tertinggi. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -