Perpaduan ummah: Di mana ada kemahuan di situ ada jalan

- Advertisement -

MENEGAKKAN gagasan politik yang membina penyatuan ummah bukanlah sesuatu yang mudah. Menggalasnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran apalagi rintangan dan tentangan namun yang penting perlu istiqamah kerana matlamat akhirnya adalah menegakkan Islam dan memberi keadilan buat semua.

Gagal membinanya akan mengakibatkan ummah berpecah belah. Dan dalam kontek kita di Malaysia kegagalan menyatupadukan kuasa politik Melayu Islam dengan melibatkan semua parti-parti politik Melayu Islam terbesar dalam negara merupakan satu ancaman yang besar kerana ia akan memberi laluan mudah kepada pihak lain untuk menguasai negara sebagaimana yang pernah berlaku selama 22 bulan apabila Pakatan Harapan yang didominasi DAP memenangi PRU ke-14.

- Advertisement -

Lantas semua parti politik Melayu Islam dalam negara kecil atau besar perlu insaf dan suka tidak suka berkongsi pemahaman dan kesedaran yang sama. Perjuangan ini adalah amanah Allah S.W.T dan matlamatnya sebagaimana ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, adalah untuk membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.

Semua yang terlibat perlu mendukung cita-cita mendaulatkan Islam, membina kepimpinan yang bertakwa dan cukup berintegriti dengan membela nasib rakyat dan menjauhkan diri sama sekali dari politik ekstrem, Liberal dan mengejar kepentingan peribadi atau kelompok.

Apa sahaja nama gagasan ini kepentingan membinanya adalah sesuatu yang sangat mendesak dan perlu diberi keutamaan. Jangan jadikan kepentingan parti atau individu sebagai penghalang ke arah pembinaannya yang sangat ditunggu-tunggu umat Melayu Islam, rakyat jelata keseluruhan. 

Kesedaran harus bangkit di dada setiap pimpinan bahawa gagasan ini kiranya berjaya dibina sebelum Pilihan Raya Umum nanti maka ia akan memperkasakan kedudukan politik umat Melayu Islam dan Bumiputera yang merupakan majoriti rakyat dalam negara seterusnya memberikan keyakinan dan jaminan keselamatan buat golongan minoriti yang tidak sekali-kali dipinggirkan.

Biarlah bumi bertuah yang kita pijak ini serta langit mulia yang kita junjung bersama kekal di bawah penguasaan umat Melayu Islam dan Bumiputera, diterajui pimpinan yang sentiasa bertaut dan mengikat dirinya sekemas-kemasnya dengan tali Allah S.W.T. Tidaklah umat ini, agamanya, bahasa, Institusi Raja-raja Melayu, hak keistimewaannya terancam atau dicabar lagi oleh mana-mana pihak sebagaimana berlaku di bawah PH dahulu.

Tatkala itu lahirlah sebuah negara tercinta yang diberkati dan sentiasa di bawah naungan Allah S.W.T dengan rakyat yang bersatu-padu, hidup dalam keadaan aman dan sejahtera sedang pimpinan yang menerajunya tidak putus-putus tunduk dan patuh pada titah perintah Allah S.W.T setiap ketika. Tiada lagi yang rasuah, tiada lagi yang tempang atau pincang dalam menjalankan tanggungjawab. Semuanya berintegriti, berakhlak mulia dan benci pada maksiat apa jenis dan bentuk sekalipun.

Untuk mencapai status ini maka sewajarnyalah semua pihak berdamai dan tidak mencetuskan konflik dan ketegangan sesama sendiri. Tiada politik ‘abang besar’ atau ‘aku yang berkuasa’ sepatutnya semua sama mengejar cita-cita yang sama dan menentang mudarat yang sama iaitu ‘No DAP dan No PKR’ kerana di situlah bersarang segala bentuk dan anasir politik ekstrem, Cauvinis dan Liberal yang menjadi ancaman kepada keutuhan ummah.

Berbincang dan bermuafakatlah dengan penuh hormat dan kasih-sayang. Memang kita punya banyak perbezaan dan sejarah hitam. Kita masing-masing menanggung luka dan kecederaan lantaran perbalahan sesama kita sebelum ini. Tetapi tiada makna segala itu diungkit dan diperbesarkan kiranya matlamat utama kita adalah menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

Carilah persamaan-persamaan yang sesungguhnya lebih banyak antara kita yang sebaiknya dimulakan dengan persamaan yang paling besar iaitu akidah dan rumpun yang sama. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata: “Jika tiga parti iaitu Umno, PAS dan BERSATU boleh bekerjasama menjatuhkan Kerajaan PH (yang berkuasa selama 22 bulan itu) mengapa kita tidak boleh mengekalkan perpaduan menentang PH pada PRU akan datang”.

Walau bagaimanapun realiti semasa menunjukkan seakan saranan Timbalan Presiden PAS ini sukar dicapai. Umno seakan telah berpatah arang dan berkerat rotan, demikian juga BERSATU. Mustahil gagasan penyatuan ummah dapat dibina kerana ketiga-tiga parti yang dimaksudkan gagal membentuk persefahaman sebagaimana dihasratkan.

Namun demikian politik Malaysia dewasa ini cukup dinamik. Kita tidak lagi berada di era 70-an, 80-an atau 90-an apabila ianya mudah dibaca dan dijangka akan tetapi kita kini di tahun 2021. Dunia yang langitnya terbuka, maklumat di hujung jari dan tuntutan serta kemahuan rakyat begitu tinggi, tidak sebagaimana dulu lagi.

Sebagaimana ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat, Saudara Kamaruzaman Mohamad: “Dunia belum kiamat. Selagi dunia belum kiamat segalanya adalah mungkin dan PAS akan terus pertegas dan memperkukuh usaha penyatuan ummah ini dan paling pentingnya mempertemukan Umno dan BERSATU.”

Sejak terbentuknya Muafakat Nasional melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional September 2019 dan kemudiannya naik Kerajaan Perikatan Nasional yang menggantikan PH, rakyat jelata khasnya ahli-ahli dan pendukung begitu ‘excited’ dengan idea penyatuan ummah ini, sesuatu yang tidak pernah dinikmati secara ‘total’ sebelum ini.

Pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional membuktikan PAS, Umno dan BERSATU boleh bermuafakat mengenepikan apa sahaja perbezaan antara mereka demi menggantikan Kerajaan PH yang sangat dimurkai rakyat itu.

Ketika itu walaupun penguasaan kerusi BERSATU kecil berbanding yang lain, semua pihak bersetuju mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan wakil-wakil PAS dan Umno serta BN dan parti-parti lain dari Borneo termasuk GPS duduk menyertai kerajaan hingga ke hari ini. Mengapa kita tidak boleh kekalkan apa yang ada. Penambah-baikan boleh dirunding dan dibincang bukankah kita penganut agama yang paling mulia dan berasal dari bangsa yang terbilang?

Semoga pimpinan dari parti-parti yang terlibat dapat bermuhasabah, mengalah tidak bermakna kita kalah. Pemimpin yang berwibawa dan bertakwa adalah yang berjiwa besar dan sentiasa bersedia bertolak ansur.

Semarakkanlah kasih sayang dan sifat hormat-menghormati antara kita. Ingatlah rugi umat kiranya kita gagal bersatu kerana suka tidak suka kita laksana telur sesangkak, pecah satu pecah semua. Jadilah kita serumpun bak serai sesusun bak sirih, berunding dan berpakatlah bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak yang penting Islam dan ummah kekal bermaruah.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -