Iftar berkumpulan tidak dibenar di Madinah Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis berbuka puasa secara berkumpulan di Madinah Ramadan tahun ini dilarang bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan anggota masyarakat terus meningkat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, berbuka puasa secara bungkus hanya diberi kepada petugas pada program itu kira-kira seramai 100 orang.

Katanya, keputusan itu selari dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang tidak membenarkan majlis buka puasa diadakan di masjid di bawah seliaannya.

- Advertisement -

“Kebetulan arahan kita sama dengan keputusan MAIK, kita buat keputusan ini pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dua minggu lalu dan kita laksanakan persiapan Madinah Ramadan berjalan lancar.

“Buka puasa kita tidak buat tahun ini, kita hanya buat untuk petugas Madinah Ramadan sahaja,” katanya di sini hari ini.

Dr Izani juga berkata, pada peringkat awal kerajaan negeri merancang Madinah Ramadan di lokasi baru iaitu di Bandar Baru Tunjong, namun persiapan tapak tidak sempat dilakukan.

Madinah Ramadan tahun ini mampu memuatkan kira-kira 500 pengunjung kerana melakukan penjarakan satu meter bagi setiap kali sembahyang dan solat tarawih.

“Kita akan lakukan solat tarawih dengan SOP, keduanya kita cuba singkatkan bacaan imam. Kita minta baca separuh helaian sahaja agar masa tidak lama berada di Madinah Ramadan.

“Begitu juga tazkirah selepas waktu Subuh dan Asar yang dihadkan antara 10 hingga 15 minit sahaja. Buka puasa pada tahun ini kita tidak adakan kerana situasi sekarang ialah wabak Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -