Tadbir urus perubahan iklim di Malaysia

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) mengalu-alukan keprihatinan pelbagai pihak terhadap dasar negara berkaitan perubahan iklim dan isu-isu antarabangsa, termasuklah yang melibatkan perdagangan plastik untuk kitar semula.

Kerajaan Malaysia menerusi KASA telah menetapkan arah tuju, dan sedang merangka dasar baru berkaitan urus tadbir perubahan iklim, termasuklah:

a. Rang Undang-Undang Perubahan Iklim;
b. Semakan semula Dasar Perubahan Iklim;
c. Dasar dan Urus Tadbir Mekanisme Pasaran Karbon;
d. Penubuhan Pusat Inventori Rumah Kaca; dan
e. Penetapan baharu Sumbangan Negara kepada Perjanjian, atau Nationally Determined Contributions (NDC).

Advertisement

KASA telah memulakan libat urus dengan pelbagai agensi termasuklah agensi awam, sektor swasta dan NGO untuk memastikan dasar baharu tersebut diterima pakai oleh semua pihak bagi membolehkan Malaysia mendapat manfaat dengan memaju agenda pembangunan rendah karbon, berpaksikan pembangunan mampan dan ekonomi hijau.

Selain itu, KASA juga ingin memberi penjelasan tentang isu jemputan ke Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim, anjuran kerajaan Amerika Syarikat pada 22-23 April 2021.

Ini perlu difahami bahawa objektif utama persidangan tersebut adalah untuk mengalakkan negara-negara ekonomi besar dunia yang secara kolektif menyumbang kepada 80% gas rumah kaca (GHG) untuk meningkatkan komitmen bagi mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celcius. Ini juga ada kaitan dengan negara-negara yang terdedah ketara kepada impak perubahan iklim (climate vulnerable countries) seperti Vietnam dan Indonesia. Malaysia tidak termasuk dalam kedua-dua kategori tersebut.

Perlu juga dijelaskan bahawa banyak negara yang menyerlah dalam agenda perubahan iklim seperti Sweden, Switzerland dan Thailand juga tidak dijemput menghadiri persidangan tersebut. Persidangan tersebut adalah bersifat one-off dan tidak menjejaskan rundingan dan ketetapan di bawah Kerangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim (UNFCCC).

Hal ini perlu dilihat secara berasingan dengan isu pengimportan sisa plastik ke Malaysia baru-baru ini dari Amerika Syarikat.

Perlu dijelaskan bahawa dasar semasa industri plastik kitar semula adalah dibenarkan sebagaimana ketetapan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Dari segi urus tadbir, MITI bertanggungjawab terhadap hala tuju dan dasar industri plastik kitar semula dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengawal selia dengan pengeluaran permit import (AP) hanya untuk plastik bersih dan seragam (homogenous). Jabatan Alam Sekitar (JAS) berperanan sebagai pihak berwibawa untuk memastikan pematuhan kepada Konvensyen Basel.

Pemantauan dan penguatkuasaan pengimportan plastik untuk dikitar semula sentiasa diutamakan oleh JAS. Tindakan tegas telah diambil ke atas pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena sisa plastik import tersebut ke negara asal menggunakan peruntukan perenggan 31(1)(g) Akta 127.

Pada tahun 2019, sebanyak 124 kontena telah dihantar balik ke negara pengeksport. Pada tahun 2020 sehingga Mac 2021, sebanyak 143 kontena. Pada masa ini, terdapat 81 kontena lagi sedang dalam tindakan JAS untuk proses penghantaran balik.

Berdasarkan penguatkuasaan JAS ke atas 134 buah kilang haram pada tahun 2020, terdapat 38 kilang haram sisa plastik yang telah dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Sehingga kini, jumlah denda bagi kes mahkamah ke atas pesalah-pesalah berhubung operasi kilang kitar semula sisa plastik haram yang telah selesai adalah sejumlah RM1,239,000.00.

Dasar kerajaan adalah untuk menjadikan industri kitar semula plastik selaras dengan pembangunan ekonomi kitaran (circular economy) sebagai salah satu pemangkin industri hijau selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau (2017-2030).

YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Menteri Alam Sekitar dan Air
6 April 2021

Maklumat tambahan

Pergerakan sisa plastik di peringkat global, mulai pada 1 Januari 2021, Konvensyen Basel menetapkan supaya sisa plastik yang merentasi sempadan hendaklah melalui Prosedur Prior Informed Consent (PIC). Kebenaran negara pengimport perlu diperolehi sebelum ia dihantar ke negara berkenaan. Setiap aktiviti pengimportan plastik dikawal selia melalui syarat dan kriteria berikut:

a. sisa plastik yang disenaraikan di bawah Annex II dan Annex VIII hendaklah melalui Prosedur PIC. Pengimportan yang gagal mematuhi prosedur ini dikategorikan sebagai illegal shipment di bawah Artikel 9;

b. sisa plastik yang disenaraikan di bawah Annex IX (seperti kod HS3915 iaitu sisa plastik jenis Polyethylene) tidak memerlukan Prosedur PIC untuk diimport. Pengimport perlu mengemukakan laporan pemeriksaan oleh pihak ketiga di negara pengeksport.

Sebarang cubaan mana-mana agen, syarikat perkapalan yang berkompromi untuk mengimport sebarang sisa ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi undang-undang dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia. – HARAKAHDAILY 6/4/2021