Padi wangi diperluas tingkat pendapatan pesawah

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Penanaman padi wangi di negara ini akan diperluaskan sebagai usaha membantu meningkatkan lagi pendapatan petani.

Ini kerana harga padi beras wangi lebih tinggi berbanding padi putih tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya berusaha memperluaskan tanaman padi wangi di kawasan jelapang padi.

Katanya, ia meliputi sawah yang dikendalikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

- Advertisement -

“Saranan kementerian untuk meningkatkan Tahap Sara Diri Beras (SSL) beras negara. Sehingga sekarang anggaran import beras wangi sebanyak 40 peratus daripada jumlah keseluruhan import beras.

“MAFI amat menggalakkan pesawah menanam padi wangi yang bernilai tinggi bagi memenuhi keperluan domestik.

“Varieti benih padi wangi yang mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pesawah ialah MRQ 76 yang mampu menghasilkan sekitar 5 tan metrik sehektar,” katanya selepas melancarkan produk beras wangi Kelantan di Pusat Belian Padi Jelapang Timur Enterprise, Banir Belikong hari ini.

Harga belian padi wangi sekarang pada kadar RM1,500 bagi setiap tan metrik.

Che Abdullah juga berkata, MARDI sentiasa proaktif membangunkan varieti benih padi wangi baharu dengan mengambil kira perubahan persekitaran.

Menurutnya permintaan terhadap beras tersebut menjadi inisiatif dalam pembangunan varieti padi wangi baharu MRQ 104 dengan potensi hasil di antara 3 hingga 5 tan metrik sehektar.

Kata beliau juga Program Smart Sawah Berskala Besar (SMARTSBB) boleh diguna pakai untuk menggabungkan pesawah dalam mengusahakan estet padi wangi dalam skala lebih besar. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -