Guru al Quran terima sumbangan menjelang Ramadan

- Advertisement -

SIK: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta bagi sumbangan kepada guru-guru al-Quran di seluruh Kedah menjelang Ramadan ini.

Peruntukan tersebut akan diagih melalui 578 masjid di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor ketika ditemui berkata, sumbangan terbabit sebagai tanda menghargai khidmat dan bakti mereka kepada masyarakat.

“Sumbangan tersebut melibatkan seramai 150 penerima di setiap Dun,” katanya pada Pelancaran Ihya Ramadan Daerah Sik di Masjid Al-Muhtadin, Sik Dalam semalam.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan berupa wang tunai RM200 dan barangan keperluan harian bernilai RM50 setiap seorang. Turut disenarai menerima sumbangan bidan kampung dan tukang mandi jenazah.

Menteri Besar berkata, sumbangan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka yang memberi khidmat kepada masyarakat secara sukarela.

Malah katanya tahun lepas tidak ada (bantuan) kerana penularan pandemik Covid-19.

“Sumbangan kepada golongan terbabit merupakan tradisi kerajaan Kedah sejak 2008. Penerima sumbangan diselaras wakil rakyat dan pejabat daerah dengan menepati syarat yang dikemukakan,” ujarnya.

Manakala dalam perkembangan lain katanya sebarang aktiviti sepanjang Ramadan ini di masjid atau surau perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum itu Sanusi menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada masjid di daerah Sik dan melancarkan Ihya Ramadan peringkat daerah itu. – HARAKAHDAILY 5/4/2021

- Advertisement -