Noor Hisham dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan Dalam Kesihatan Awam) sempena majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.

Ijazah kehormat itu disampaikan oleh Canselor UKM, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, semalam.

Menerusi hantaran di laman Twitter Ketua Pengarah Kesihatan itu semalam, Dr Noor Hisham merakamkan penghargaan atas penganugerahan itu dan menyifatkan ia satu pengiktirafan kepada komitmen dan dedikasi para pendidik di UKM dan kesemua petugas kesihatan.

- Advertisement -

“Merafak sembah menjunjung kasih menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Canselor UKM, di atas limpah perkenan mengurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada UKM dan Fakulti Perubatan UKM atas penganugerahan ini.

“Selaku alumni Fakulti Perubatan UKM pada 1988 dan 1994, saya turut berasa bangga melihat kejayaan yang diperoleh oleh semua graduan yang menerima ijazah mereka pada majlis konvokesyen kali ini yang diadakan dalam suasana norma baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada pakar bedah endokrin yang juga mentornya Prof Emeritus Dr Freda Andrea Meah yang menyampaikan ucapan tahniah atas penganugerahan itu menerusi satu video.

“Saya tidak akan menjadi siapa saya pada hari ini jika bukan kerana bimbingan dan tunjuk ajar Profesor Freda Meah. Terima kasih diucapkan dan saya bersyukur atas peluang yang diberikan bagi meneruskan perjalanan hidup untuk berbakti dan membuat kebaikan kepada orang ramai. Insya-Allah,” kata Dr Noor Hisham.

Video ucapan itu dimuat naik oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali di laman Twitternya semalam.

Dalam video berdurasi 45 saat itu, Dr Freda Andrea berkata Dr Noor Hisham adalah pelatih pertama yang dibimbing beliau bagi menjalani latihan pembedahan endokrin dan merupakan pakar bedah endokrin terbaik.

“Saya sangat bangga dengan beliau, saya ucapkan tahniah dan syabas dari lubuk hati saya kerana beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dan beliau sememangnya layak 100 peratus,” katanya.

Pada tahun lepas, Dr Noor Hisham dianugerahkan Alumni Tersohor 2019 oleh Fakulti Perubatan UKM atas sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan. – BERNAMA

- Advertisement -