RTM kekal relevan ketika jejaki usia 75 tahun

- Advertisement -

ALOR SETAR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan saluran rasmi kerajaan yang masih relevan serta mempunyai tanggungjawab besar terhadap negara dan rakyat.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat perlu mendapat info yang sahih dan tepat serta tidak boleh bergantung kepada portal-portal yang tidak diketahui siapa di belakangnya.

Katanya, RTM sebagai media rasmi kerajaan diyakini dapat melaksanakan tanggungjawab menyampai maklumat yang tepat dan benar.

- Advertisement -

“Tugas RTM dan Kedah.FM terlalu mencabar memandangkan rakyat boleh mendapatkan info dan maklumat daripada pelbagai saluran termasuk di media sosial.

“Namun ia dapat diatasi dengan kehebatan dan pengalaman RTM dan media rasmi kerajaan yang lain,” katanya pada sidang media sempena sambutan ulangtahun ke-75 RTM di Auditorium Kedahfm hari ini.

Oleh itu beliau berharap RTM meningkatkan kreativiti, inovasi dan motivasi supaya tampil sebagai media yang menyampaikan info tepat, padat dan benar kepada orang ramai.

Selain itu menteri besar mahu budaya fakes news yang disebarkan melalui media sosial dan portal-portal ‘hantu’ dapat diatasi.

“RTM masih relevan untuk rakyat walau pun sudah 75 tahun memberi khidmat. Saya ucap tahniah kepada semua warga RTM serta Kedahfm dan semoga komited dengan tugas,” katanya.

Sanusi sebelum itu menyempurnakan gimik pelancaran yang dipancarkan secara serentak bersama negeri-negeri lain melalui saluran RTM ke seluruh negara.

Beliau turut mengucap tahniah kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang juga menyambut ulang tahun ke-75 hari ini. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -