Prinsip yang bertukar warna

- Advertisement -

DI DALAM al-Quran menggambarkan bahawa musuh itu merancang untuk mengubah atau melenturkan prinsip kita. Allah S.W.T berfirman:

- Advertisement -

وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

Maka mereka (kaum Musyrikin) menginginkan supaya kamu bersikap lunak (mudahanah) lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).”

Nabi S.A.W pernah ditawarkan dengan jawatan, kekayaan dan wanita oleh Musyrikin Makkah dalam pelan untuk melenturkan prinsip Nabi S.A.W. Tetapi Baginda S.A.W bertegas dengan menolak tawaran-tawaran itu.

Perkataan المداهنة  berasal daripada perkataan الدهن  yang boleh diterjemahkan sebagai minyak atau cat. Minyak digambarkan sebagai melembapkan atau membasahkan sesuatu yang kering, atau sebagainya. Manakala cat digambarkan sebagai mengubah warna. (Rujuk almaany.com)

Ia boleh difahami dengan prinsip yang tegas yang diumpamakan seperti tanah yang keras lagi kering. Lalu, ia dilembapkan supaya mudah dikorek atau dicangkul. Sama seperti cat. Ia digunakan untuk mengubah warna prinsip.

Imam al Munawi ada menghuraikan maksud ( المداهنة  ) pelan mengubah prinsip di dalam kitabnya التوقيف على مهمات التعاريف;

المداهنة أن ترى منكراً تقدر على دفعه فلا تدفعه، حفظا لجانب مرتكبه، أو لقلة مبالاة بالدين

Al-Mudahanah itu adalah kamu melihat kemungkaran yang mampu kamu cegah, namun kamu tak mencegahnya, kerana untuk melindungi pelakunya atau kerana kurangnya pembelaan pada agama.”

Pelan melenturkan prinsip ini boleh berlaku dalam banyak bentuk, sama ada disogok dengan dedak, jawatan, bodek atau apa sahaja dengan tujuan untuk mencairkan dan melonggarkan prinsip seseorang.

Dalam satu Hadis Riwayat at-Tirmizi;

من التمس رِضا اللهِ بسخَطِ الناسِ ؛ رضِيَ اللهُ عنه ، وأرْضى عنه الناسَ ، ومن التَمس رضا الناسِ بسخَطِ اللهِ ، سخِط اللهُ عليه، وأسخَط عليه الناسَ

Sesiapa yang mencari redha Allah walaupun orang-orang benci, maka Allah akan redha padanya dan Allah akan jadikan manusia turut redha kepadanya. Sesiapa yang mencari redha manusia walaupun dengan kemurkaan Allah S.W.T, maka Allah S.W.T murka kepadanya dan Allah akan buat orang-orang turut murka kepadanya juga.”

Antara kisah yang berkaitan pernah saya tuliskan sebelum ini mengenai kisah berubahnya prinsip seseorang disebabkan sogokan 2 dinar;

https://www.facebook.com/100000953077134/posts/2578468462194898/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Khamis, 1 April 2021 – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -