Fine dining versi Halalan Toyyiban di Casa De Madani

- Advertisement -

CYBERJAYA: Casa De Madani menawarkan halal fine dining dengan memberi jaminan 100 peratus kandungan bahan yang digunakan dalam proses penghasilan makanan adalah halal lagi bersih, iaitu Halalan Toyyiban.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Food, Abdul Aziz Johari, kesemua daging atau bahan yang digunakan mempunyai kaitan dengan Halal Blockchain Network (HBN) yang sedang diusahakan Kumpulan Malakat.

- Advertisement -

“Kita hendak memastikan daging-daging yang datang ini kita tahu daripada mana asal usul, daripada supplier mana, pengimport mana, supply chain yang mana sebelum sampai ke Casa De Madani ini.

“Jadi memang berkait rapatlah dengan halal blockchain yang kita sedang usahakan,” ujarnya kepada Harakah ketika Majlis Food Testing Buffet Ramadan, Santapan Sepurnama@Casa De Madani, semalam.

Tambah beliau, Casa De Madani sejak sebelum ini sememangnya menawarkan jaminan halal dengan meletakkan prosedur-prosedur yang ketat untuk supplier-supplier dan vendor-vendor yang berkaitan.

Malah, sebelum ini Kumpulan Malakat telahpun mewujudkan tag piawaian yang ketat untuk memantau proses dan status produk atau barang yang disediakan.

“Sebenarnya bukan hanya daging, semua produk yang hendak masuk ke dalam Casa De Madani ini mestilah melalui proses halal yang ketat.

“Terutamanya daging import, ingredient-ingredient, kita tahu dia halal, tapi kita nak tahu Halalan Toyyiban. Itu sebenarnya kita perkenalkan halal fine dining ini.

“Halal fine dining bukan sahaja (bermaksud) tiada arak. Memang jaminan 100 peratus setiap produk yang masuk ke dalam restoran kita, brand kita, Malakat Food dijamin Halalan Toyyiban,” kata beliau.

Casa De Madani terletak di sekitar Malakat Mall, di Cyberjaya dengan menawarkan pelbagai jenis hidangan dan juadah berbuka puasa sempena kehadiran Ramadan dengan lebih 300 menu.

Antara hidangan utama yang disajikan sepanjang termasuk Aussie Braised Lamb Shank, Smoked Duck with Purple Mash, Pan Search Wagyu MB5 with Orange Sweet Potato, Rack of Lamb with Purple Carrots, Lobster Thermidor with duo Spaghettini Aglio Olio, Pan Search Wagyu MB7 with Roast Japanese Sweet Potato dan Oven Baked Aromatic Chilean Cod Fish with Mango Chutney.

Menariknya, Casa De Madani turut menyediakan ruang solat untuk memudahkan pelanggan solat maghrib sambil menikmati juadah yang disediakan.

Bubur lambuk wagyu

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim berkata Malakat Mall akan beroperasi secara 24 jam sehari sepanjang Ramadan.

Katanya, langkah itu dibuat dengan mengambil kira kepadatan waktu orang Islam sepanjang Ramadan terutama pada waktu malam supaya orang Islam tidak ‘rushing’ mengerjakan solat sunat tarawih.

“Malakat Mall akan dibuka 24 jam pada bulan Ramadan, sebab kita tidak mahu orang ‘rushing’ apabila solat taraweh. Setengah orang dia ‘rushing’ sebab tidak sempat hendak shopping.

“Tapi apabila hendak ‘shopping’ siang dia rasa penat. Jadi kita rancang untuk buka 24 jam, kecuali makanan,” ujarnya ketika memberi ucapan dalam majlis sama.

Beliau turut menyeru orang ramai terutamanya kumpulan-kumpulan korporat dapat sama-sama menyokong Casa De Madani dalam menyediakan servis dan produk Halal Fine Dining. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

- Advertisement -