Beri insentif SSPN-i untuk bayi baru lahir

- Advertisement -

PAYA BESAR: Pemberian insentif Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada bayi baru lahir adalah untuk memupuk kesedaran terhadap perlu dan pentingnya menabung demi pendidikan masa hadapan.

Usaha secara kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Panching dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini telah dilancarkan ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

- Advertisement -

“Kita bina kesedaran masyarakat, terutamanya ibu-ibu muda terhadap keperluan dan kepentingan membuka akaun SSPN-i sejak anak baru lahir. Tidak perlu tunggu anak dah besar. Anak lahir saja, dah boleh buka akaun dan boleh mula menabung untuk masa depan anak, untuk anak belajar masa depan. 

“Tiada target buat masa ini. Program kita ini memang setiap minggu kita buat. Asal ada sahaja kelahiran baru, dan maklum kepada pejabat kita (melalui wakil cawangan), dan kita akan melawat dan kita akan bukakan akaun SSPN-i. 

“Sebelum ini kita melawat bagi barang sahaja, seperti beg, tuala, baju, dan sedikit saguhati. Tetapi untuk kali ini, ada tambahan sikit iaitu kita di Pejabat ADUN akan menaja membuka akaun SSPN-i untuk semua anak-anak yang baru lahir, dalam DUN Panching ini,” ujar beliau.

Ustaz Tarmizi berkata demikian ketika menziarahi bayi kembar Ketua Pemuda Umno Cawangan Permatang Badak, Muhammad Halim Khalil iaitu Nur Qhaila Aqiela dan Nur Qhaira Ariesa di Kampung Permatang, di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri Pahang, Sapiza Ajuhari dan Pengurus Cawangan PTPTN Cawangan UTC Pahang, Solahuddin Muhamad Noor serta pasukan PKM ADUN Panching dan Ahli Jawatankuasa Cawangan Permatang Badak. 

“Menyimpan dari awal kelahiran, kita buat simpanan untuk SSPN-i, untuk tujuan pendidikan tinggi. Bila masuk universiti nanti, tidak perlu lagi membuat pinjaman, ataupun dia pinjam sedikit sahaja dengan PTPTN. 

“Jika kita simpan daripada awal, umur 18, insya-Allah dah cukup sebenarnya untuk jumlah yang ada itu untuk kita untuk membuat perbelanjaan untuk anak di universiti,” kata Sapiza turut merakam penghargaan kepada Ustaz Tarmizi atas inisiatif itu.

Di bawah SSPN terdapat dua kategori iaitu SSPN-i dengan minimum pembukaan RM20 tanpa memerlukan komitmen bulanan dan SSPN-i Plus bersama enam pakej minimum RM30 sebulan serta komitmen setiap bulan. 

Selain serahan sijil simpanan tersebut, Ustaz Tarmizi juga sempat menyempurnakan tahnik kepada pasangan bayi kembar itu berusia lima hari itu dengan turut disaksi ibu mereka, Tengku Nurul Asyikin Engku Azlen, 36.

“SSPN bagus untuk menabung masa depan pendidikan anak-anak. Saya buka akaun sejak anak sulung berumur tujuh tahun (kini 10 tahun). Saya bersyukur kerana anak kembar kali ini mendapat sumbangan dari YB untuk membuka akaun,” kata Asyikin. – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -