JADI bidan bukannya melalui teori semata-mata tetapi ianya perlu melalui pengalaman bagi mengendalikan ibu bersalin. Walaupun bersalin itu sesuatu yang fitrah. Namun semasa bersalin, ianya perlu dipantau. Di zaman belum merdeka, kematian ibu semasa bersalin sebanyak 770 dalam 100,000 kelahiran.
Namun atas perkembangan perubatan, makin ramai tenaga mahir (Skilled Birth Attendant) yang menguruskan kelahiran, kematian semakin menurun 21.1 dalam 100,000 kelahiran. Begitu juga dengan statistik kematian bayi, dapat diturunkan jumlah begitu memberangsangkan. Sasaran dunia bagi setiap negara menghendaki kadar kematian bayi (neonates < 28 hari) tidak lebih dari 12 per 1000 kelahiran hidup. Negara kita sudah mencapai 4.6 per 1000 kelahiran hidup.
Maknanya walaupun kelahiran itu fitrah semula jadi, nak beranak kenalah diuruskan oleh tenaga mahir. Tidak boleh biarkan si ibu beranak tanpa dihadiri oleh individu yang mahir. Mahir itu terhasil dari ilmu yang benar yang dipelajari dan pengalaman yang diambil.
Kita sedih, sejak dua menjak ini, terdapat trend dalam masyarakat yang menolak khidmat anggota mahir. Malah mereka percaya kepada individu yang menyebarkan ilmu tidak betul berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran.
Kononnya memperjuangkan kelahiran secara fitrah dan semulajadi tanpa campur-tangan manusia. Tetapi sebaran ilmu itu tidak benar. Mereka hanya belajar Youtube dan memutar-belitkan teori kelahiran. Testimoni katanya. Mungkin terdapat satu dua kes dicerpenkan pengalaman berjaya dan manis, tetapi lihatkan pula kes-kes yang telah banyak berlaku. Banyak berlaku tragedi kematian.
Saya sendiri tidak akan menggelarkan diri saya sebagai Child Birth Educator (CBE). Sebab ilmu berkaitan dengan pengurusan bersalin itu adalah naratif khusus bagi kawan-kawan saya di bidang Perbidanan dan Sakit Puan (O&G).
Sebagai Pakar Perubatan Keluarga, teori asas pengurusan bersalin memang ada. Tetapi bagi kes-kes yang bermasalah kesihatan, kami akan merujuk kepada Pakar O&G. Bahkan pengalaman saya bab menguruskan kelahiran tak banyak. Sepanjang karier saya sebagai seorang doktor tak kurang dari 500 kes yang saya sambut kelahiran.
Bagi pembedahan pula tak kurang dari 50 pesakit. Selebihnya lagi sebagai Pakar Perubatan saya menyelesaikan kes ibu hamil yang mempunyai penyakit kronik untuk diberi ubat ataupun dikendalikan mengikut disiplin kemahiran tertentu.
Jauh sekali saya ingin membuat kelas untuk mengajar bagaimana cara untuk bersalin. Sebab pelajaran itu memerlukan multi-disiplin termasuk dari kawan-kawan saya yang berada di bahagian Perbidanan dan Sakit Puan.
Memang dari segi teori saya amat tahu dan fasih. Tetapi pengiktirafan untuk menggelarkan diri kita ini sebagai CBE itu yang perlu diteliti, kerana jika salah ajaran menyebabkan salahlah amalan dan pengurusan pesakit. Perkembangan terkini perubatan pun perlu ditambah.
Jika terdapat individu atau kumpulan yang mengaku mereka itu CBE, tanyalah dahulu beberapa soalan:
(1) Dari mana dia dapat ilmu tersebut melalui internet atau kelas khusus? Jika tiada pengalaman mengendalikan kes secara realiti pun, setidaknya guru-guru yang mengajar kelas mereka itu terdiri dari ahli yang telah berpengalaman.
(2) Apakah sijil yang diperoleh itu diiktiraf dalam negara kita?
(3) Adakah amalan atau aktiviti pengajaran beliau itu di kawal-selia oleh badan-badan tertentu yang berautoriti?
(4) Adakah silibus yang digunakan oleh beliau itu diiktiraf oleh pakar-pakar sakit puan seluruh negara atau dunia? Persatuan profesional perubatan mana yang memberikan sokongan dan pengiktirafan?
(5) Adakah beliau atau perkumpulan atau persatuan beliau membuat permohonan untuk pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan? Jika ada apakah terma rujukannya dan di bawah akta mana untuk diklausakan sebagai CBE berdaftar?
(6) Adakah terdapat audit pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan standard ajaran yang diberikan itu tepat dengan mengikut piawaian Evidence based medicine?
(7) Adakah mereka pernah mendapat latihan bagaimana mengendalikan kes-kes kecemasan seperti kes kelahiran bayi songsang, kes terlekat uri atau kes bayi lemas dan sebagainya?
Jika soalan asas di atas tidak dijawab, malah jawapan melencong mencari helah, hanya secara teori sahaja baik tak payah belajar dengan mereka. Kelas yang mereka buka semata-mata ingin mencari keuntungan. Bukan untuk menyampaikan ilmu yang benar, malah amat membahayakan. Mereka bukannya berkeahlian dalam disiplin perubatan.
Setiap keputusan dalam perubatan ini melibatkan hidup atau mati. Apa saja keputusan yang dibuat jika tidak mengikut standard prosedur dan amalan yang sepatutnya dalam ilmu perubatan yang sah, kita dikira berdosa kerana tidak mengikut landasan sebenar. Kalau ianya syok sendiri dan membuat persepsi atau teori sendiri yang bukan-bukan bermakna kita telah terkeluar dari landasan perubatan. Pengajaran kita itu boleh merosakkan ummat.
DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 30/3/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.