Mengapa penyu menangis?

- Advertisement -

SAYA pernah memberitahu seorang peniaga bahawa saya tidak memerlukan beg plastik kerana saya tidak mahu membunuh penyu. Peniaga tersebut terpinga-pinga kerana dia tidak memahami kaitan di antara penyu dan beg plastik. Tetapi apakah hubungan di antara penyu dan beg plastik? Satu di laut dan satu di darat, di manakah mereka bertemu?

Sebenarnya terdapat beg plastik dan produk-produk plastik pakai buang yang terbuang ke sungai-sungai dan akhirnya ke laut. Dianggarkan terdapat 100 juta tan produk-produk plastik terbuang ke dalam lautan dan laut di seluruh dunia. Haiwan laut seperti penyu tidak dapat membezakan beg plastik dari makanan-makanan semulajadi mereka seperti obor-obor. 

Ada yang termakan produk plastik seperti beg plastik dan ia boleh mengakibatkan kematian. Beg plastik ini boleh mengakibatkan penyu tercekik. Plastik yang tajam juga boleh membocorkan organ dalaman haiwan tersebut selain dari menyumbat usus mereka yang mengakibatkan kegagalan untuk menyerap makanan. Menurut World Wildlife Fund (WWF), kajian menunjukkan 52 peratus dari populasi penyu pernah termakan plastik. Dari jumlah itu pula, 22 peratus dari bilangan tersebut berhadapan dengan risiko kematian.

- Advertisement -

Tetapi jika ada penyu-penyu yang mati, adakah ini akan memberi kesan kepada kita? Jawabnya ya, pengurangan populasi penyu di lautan akan memberi kesan kepada manusia. Contohnya penyu adalah haiwan yang memakan obor-obor (jellyfish). Dengan secara tidak langsung penyu dapat mengawal populasi obor-obor. Tetapi kenapa populasi obor-obor perlu dikawal?

Populasi haiwan ini perlu dikawal kerana ia memakan telur-telur ikan. Sekiranya populasi penyu berkurangan dan populasi obor-obor tidak terkawal maka ini bermakna populasi ikan akan berkurangan kerana telur-telur ikan akan dimakan oleh obor-obor. Ini bermakna beg plastik yang kita buang akan memberi kesan kepada jumlah tangkapan ikan oleh nelayan-nelayan. Ini bermakna jika penyu menangis kita juga akan menangis.

Selain dari itu kulit-kulit telur yang ditinggalkan setelah telur penyu menetas di pantai dan anak-anak penyu yang mati kerana gagal sampai ke laut adalah sumber nutrien yang penting bagi tumbuh-tumbuhan di pesisiran pantai. Tumbuhan-tumbuhan ini dapat mengelakkan hakisan di tepi pantai kerana ia mengukuhkan kawasan-kawasan tersebut dan dapat bertahan apabila dipukul ombak. Secara tidak langsung penyu membantu mengukuhkan pesisiran pantai. Tetapi bukan ini sahaja jasa penyu kepada kita, ada banyak lagi.

Mungkin tidak ramai yang menyedari perkara-perkara ini. Allah S.W.T telah mengatur keseimbangan alam ini dan sebarang tindakan tidak bertanggungjawab oleh manusia akan memberi kesan yang buruk kepada mereka. Sebuah negara di Afrika pernah melaksanakan program untuk mengurangkan populasi sejenis spesis burung kerana ia menimbulkan masalah kepada para petani. Walau bagaimanapun mereka lupa spesis burung ini bertanggungjawab mengawal populasi belalang kerana burung ini memakan belalang. Apabila spesis burung ini berkurangan maka populasi belalang tidak terkawal. Akhirnya belalang ini pula yang menimbulkan masalah kepada para petani.

Setiap makhluk ciptaan Allah S.W.T memiliki fungsi mereka. Dari yang paling kecil kepada yang paling besar makhluk-makhluk ini memainkan peranan masing-masing. Contohnya seekor semut walaupun kecil tetapi memainkan peranan yang besar. Selain dari menjadi makanan haiwan-haiwan seperti burung dan cicak, ia juga memakan serangga yang mengancam tanaman-tanaman. Aktiviti semut membuat sarang di dalam tanah dapat memastikan udara dan air dapat sampai ke akar-akar pokok.

Hari ini terdapat aktivis-aktivis alam sekitar yang memperjuangkan nasib haiwan-haiwan terancam seperti ikan paus, ikan lumba-lumba atau orang utan. Usaha-usaha ini bukan semata-mata untuk menyelamatkan haiwan-haiwan tersebut tetapi untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem (ecosytem) yang akan memberi kesan yang buruk kepada kita semua jika terganggu.

Segala-gala di dalam alam ini bekait di antara satu sama lain. Sebarang tindakan kita sama ada kecil atau besar akan menghasilkan tindak balas sama ada baik atau buruk. Kebanyakan bencana seperti banjir, tanah runtuh dan banyak lagi adalah akibat tangan-tangan manusia. Di dalam al-Quran surah ar-Rum ayat ke 41, Allah S.W.T yang bermaksud:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Satu lagi contoh adalah penebangan hutan kerana aktiviti pembalakan atau pertanian yang tidak terkawal didakwa telah mengakibatkan banjir besar. Sebelum pokok-pokok ditebang, ia berupaya menyerap dan menyimpan hujan yang turun. Sepohon pokok yang besar dapat menyerap lebih 3,500 liter air hujan setahun. 

Sekiranya 1,000 pohon pokok ditebang untuk mendapatkan balak maka ini bermakna lebih 3.5 juta liter air hujan tidak akan lagi diserap dan terus mengalir ke atas tanah setiap tahun. Sekiranya air tambahan ini tidak dapat disalirkan dengan berkesan maka sudah tentu akan berlaku banjir. Kita adalah khalifah di atas muka bumi ini, kita bertanggungjawab untuk mentadbir dunia ini dengan baik. Jangan pula kita yang menghancurkannya.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 31/3/2021

- Advertisement -