Derma darah AMAL terus dapat sambutan

- Advertisement -

LIPIS: Pemahaman masyarakat Islam bahawa menderma darah juga merupakan antara amal jariah telah membawa kesedaran dan perubahan untuk menyokong pelaksanaan usaha murni tersebut.

Lantaran itulah Amal Mega Blood Donation Daerah Lipis anjuran Jabatan Amal Malaysia (AMAL) terus mendapat sambutan pada siri yang diadakan di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis, di sini semalam.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Lipis, Khaidir Kamil berkata, kesedaran untuk menderma darah dalam kalangan masyarakat sudah semakin baik kini di mana penganjuran kempen sedemikian semakin mendapat penyertaan.

- Advertisement -

“Penerapan kepada sentuhan agama bahawa menderma darah juga adalah suatu amal jariah menjadi sentuhan yang baik dan diketengahkan kepada masyarakat bagi memberi motivasi berbentuk ukhrawi,” ujarnya.

Program kali kedua setelah Mac lalu itu dikendalikan AMAL Lipis tersebut mendapat kerjasama penuh Bahagian Tabung Darah Hospital Kuala Lipis dan pihak pentadbiran Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis.

Selain kempen tersebut sebagai acara utama, program turut diisi dengan kaunter tahsin bacaan surah al-Fatihah, pendaftaran suntikan vaksin COVID-19, daftar pemilih dan kuliah dhuha khas.

Seramai 63 penderma darah tampil pada siri kempen ini yang melebihi sasaran diharapkan iaitu 50 penderma di mana program turut dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis dan Cameron Highlands, Roslan Zainal Al-Ahmadi dam Ustaz Karim Nor.

Menurut Komandan AMAL Lipis, Saufi Abdullah, program kebajikan seperti ini adalah rutin pihaknya yang akan diteruskan dari masa ke semasa sekali gus memupuk kerjasama dan kesedaran masyarakat. – HARAKAHDAILY 29/3/2021

- Advertisement -