Lebih 566,000 telah terima suntikan vaksin Covid-19

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lebih 566,000 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam Fasa 1 Program Imunisasi Covid19 Kebangsaan (PICK), kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Katanya, dalam taklimat kepada semua ahli parlimen minggu lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin telah memaklumkan jadual pelaksanaan PICK dipercepatkan dengan sasaran mencapai imuniti kelompok (herd immunity) sebelum penghujung tahun ini.

“Melihat perlaksanaan fasa pertama sudahpun mencapai 566,000 insya-Allah kesemua frontliners boleh menyelesaikan dos kedua sebelum April tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Tambahnya, kerana itu pelaksanaan Fasa 2 dan 3 akan dipercepatkan.

Beliau berkata, bagi tujuan Fasa 2 dan Fasa 3, sebanyak lebih 1,400 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah ditetapkan di seluruh negara.

Ini, ujarnya termasuklah penglibatan hospital dan klinik swasta terpilih yang turut dilibatkan sebagai pelaksana.

Katanya lagi, untuk penerima vaksin Covid-19 yang ditetapkan PPV swasta yang terlibat, ia tetap percuma..

Ini, jelasnya kerana vaksin Covid-19 yang diberikan adalah milik kerajaan dan kerajaan membayar perkhidmatan hospital dan klinik swasta berkenaan.

“Di lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, PPV bersaiz mega akan disediakan sebagai contohnya Stadium Bukit Jalil,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan juga merancang PPV secara kaedah pandu lalu, penerima vaksin menerima dalam kereta masing masing.

Tambahnya, termasuk juga kemungkinan pembukaan PPV secara 24 jam bagi membolehkan pengurangan kesesakan jalan raya atau gangguan waktu kerja.

Menurutnya, seramai lebih tujuh juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 melalui MySejahtera.

Ahmad Amzad berkata, manakala baki dijangka akan dapat bertambah dengan cepat apabila gerakan mendaftar oleh sukarelawan MyVac digerakkan di seluruh negara yang diselaraskan oleh NADMA.

“Semoga matlamat untuk melindungi rakyat dari jangkitan Covid-19 dan penularannya dapat dicapai,” kata beliau.

Ini, ujar Amzad seterusnya menjadikan keadaan lebih selamat untuk membuka ekonomi, pergerakan rakyat dan perdagangan antarabangsa termasuklah membolehkan pilihan raya umum lebih awal diadakan jika dinasihatkan oleh Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 28/3/2021

- Advertisement -