Islam memperkukuhkan perpaduan

- Advertisement -

SAYA terkesima apabila dihubungi melalui telefon bimbit oleh rakan saya Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Dr Balachandran. Beliau langsung menasihati saya bahawa kita jangan hilang arah haluan dan arah tuju.

Islam mesti memimpin perpaduan katanya. Kita jangan terperangkap dalam permainan musuh yang ingin umat Islam berpecah dan bergaduh sesama sendiri.

Inilah sedang bermain di gelanggang politik dan dihamburkan di media sosial. Ujar beliau lagi, sikap mendiamkan diri dan teruskan bekerja kita di tengah-tengah masyarakat membina perpaduan, melaksanakan program kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat merupakam suatu langkah yang bijak dan tepat. Biarlah urusan parti dan keputusan parti di uruskan oleh pimpinan pusat.

- Advertisement -

Saya menjadi malu apabila seorang yang bukan Islam boleh memberikan nasihat yang baik tentang pentingnya membentuk dan menjaga perpaduan yang berteraskan Islam dan Islam memimpin.

Saya hanya mampu berkata “Iya..iya” sahaja sambil mendengarkan nasihat beliau yang masuk ke telinga dan terus ke jantung hati.

Kalaulah seorang yang bukan Muslim boleh berfikir tentang peri pentingnya perpaduan atas dasar Islam mengapa tidak umat Islam sendiri. Sampai bila umat Islam ini mahu bercakaran sehingga kuasa politik tergadai ke tangan musuh Islam dan mereka yang berpegang kepada fahaman liberal.

Marilah kita umat Islam Melayu bersatu padu memperkukuhkan perpaduan ummah di atas landasan Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah. Ambillah pelajaran daripada perpaduan yang dibentuk oleh suku kaum Aus dan Khadraj (penduduk asal Madinah) yang bermusuhan lebih seratus tahun tetapi dapat disatukan hati mereka dengan iman dan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Perpaduan Aus dan Khadraj yang membentuk sahabat Ansar kemudian disatukan dengan sahabat Muhajirin (yang berhijrah dari Makkah ke Madinah ) yang datang ke Madinah atas satu misi iaitu demi Allah dan Rasul.

Perpaduan sahabat Ansar dan Muhajirin telah berjaya membina perpaduan ummah dan di tangan merekalah Islam dapat dimartabatkan sehingga Islam tersebar ke Timur dan Barat.

Perpaduan yang dibina berteraskan Iman dan Islam inilah yang menjadikan politik daulah Islam Madinah stabil, masyarakatnya sejahtera serta berdaulat sehingga dapat memayungi bukan sahaja umat Islam bahkan juga orang-orang bukan Islam yang bernaung di bawah daulah Islam pimpinan Rasulullah SAW tanpa mengalami sebarang diskriminasi.

Kita juga harus belajar tentang Abdullah bin Ubai Bin Sahalul, yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin di Madinah tetapi tidak kesampaian. Kita juga tahu bagaimana Abdullah bin Ubai dan musuh-musuh Islam dari kalangan orang-orang Yahudi sering meniupkan api permusuhan dalam kalangan penduduk Islam Madinah dan pengkhianatan terhadap Rasulullah S.A.W.

Oleh itu, marilah kita meneruskan usaha memperkukuhkan perpaduan sesama umat Islam agar kuasa politik tidak jatuh ke tangan musuh-musuh Islam. Jadikanlah Iman dan Islam serta Al Quran dan Sunnah sebagai asas kepada perpaduan.

Perpaduan yang dibina atas kepentingan peribadi, pangkat dan jawatan tidak akan berjaya bahkan akan memporak- perandakan umat ini dan menjadikan umat ini lemah dan mudah dikuasai oleh musuh-musuh Islam.

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka – HARAKAHDAILY 28/3/2021

- Advertisement -