Sungai: Sektor industri disaran jadikan sungai angkat

Foto daripada Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man.
- Advertisement -

SEPANG: Sektor industri disaran untuk menjadikan sungai di Malaysia ini sebagai sungai angkat dan bersama-sama menjadi penyumbang kepada kelestarian alam sekitar, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata melalui usaha ini ia juga dapat mengubah imej industri dan kilang daripada penyebab pencemaran sungai kepada penjaga kelestarian sungai.

“Imejnya sekarang industri dianggap sebagai penyumbang kekotoran selama ni (dan) kita nak tukar imej tersebut biar industri tu jaga sungai.

- Advertisement -

“Contoh, sepanjang denai sungai 30 kilometer, mungkin setiap industri ambil 200 meter, (dan kawasan) itu di bawah seliaan mereka yang mereka akan membiaya kos penyelenggaraan sungai dan turut sama bersama kakitangan mereka membersihkan sungai tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Denai Sungai Kebangsaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Sungai Jenderam, dekat sini hari ini.

Tuan Ibrahim turut menggalakkan universiti untuk bersama-sama mengambil peranan menjaga sungai yang berhampiran dengan kampus dan dalam masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai sumber air.

Sementara itu, SPAN dalam kenyataan medianya menyatakan Sungai Jenderam sepanjang dua kilometer di Kampung Jenderam Hulu telah dijadikan sungai angkat kepada agensi itu dan inisiatif ini merupakan satu daripada langkah menyokong Program Denai Sungai Kebangsaan.

“Matlamat utama program ini adalah untuk membangunkan kawasan tebing Sungai Jenderam sebagai kawasan rekreasi dan taman-taman awam dengan melibatkan orang ramai, komuniti setempat, badan bukan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan.

“SPAN berharap dengan usaha murni ini, orang awam khususnya komuniti tempatan dapat membuka minda dalam menjaga kebersihan sungai serta menghargai sumber air dan menghayati nilai flora dan fauna yang terdapat di sekelilingnya,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -