PAU 2020: Tok Mat titip nasihat buat ahli ‘lompat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Iklim politik kita seperti dilanda langkisau (ribut). Ramai yang sasau, ramai yang meracau”, sindir Timbalan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohamad Hasan terhadap sikap segelintir wakil rakyat yang melompat parti tanpa rasa malu.

Ia berikutan senario politik negara yang memperlihatkan kepentingan peribadi ahli-ahli politik berbanding keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Ahli Parlimen memperjudikan mandat rakyat dengan sesuka hati demi kepentingan peribadi masing-masing.

“Mereka melompat daripada satu kolam ke kolam yang lain tanpa rasa malu, tanpa segan silu,” ujarnya.

- Advertisement -

Dalam nada seakan berkias, beliau berkata, negara kini lebih memerlukan larangan rentas parti berbanding rentas negeri dalam tempoh penularan pandemik Covid-19.

Walau bagaimanapun katanya, tindakan melompat parti adalah sebahagian daripada ujian besar yang perlu dihadapi dengan sabar dan tabah.

“Sebahagian lagi mestilah diisi dengan kesungguhan dan ikhtiar untuk keluar dari kesukaran ini. Tawakal kita, pasrah kita dan reda kita, mesti selari dengan semangat dan usaha kita.

“Hanya dengan yang demikian, Insya-Allah kesan pandemik ini dapat kita hadapi dengan baik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 27/3/2021

- Advertisement -