Rasuah: Sama sahaja pemberi, penerima dan perantara

- Advertisement -

BILA kita baca surat khabar, sedar tak sedar, apabila ada kes rasuah dilaporkan, yang selalu terpampang di dada media adalah wajah dan nama penerima rasuah.

Jarang benar diceritakan mengenai pemberi rasuah. Selalunya, begitulah.

Masyarakat kita biasanya hanya menyalahkan penerima rasuah sedangkan tiada penerima kalau tiada pemberi.

Sama juga tiada pemberi kalau tiada yang meminta.

- Advertisement -

Kadang kala transaksi haram tidak berlaku kalau tiada perantara antara pemberi dan penerima.

Mungkin kita banyak didedahkan dengan berita tentang orang yang ditangkap kerana menerima rasuah, sehinggakan kita rasa yang memberi rasuah terlepas.

Bahkan mungkin sebahagian daripada kita tidak tahu wujudnya perantara selaku orang tengah atau ‘broker’ dalam kegiatan rasuah.

Thauban RA meriwayatkan bahawa:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara iaitu penghubung antara kedua-duanya”. [Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068)]

Budaya rasuah adalah kebimbangan besar untuk kita orang Muslim.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk saling berpesan kepada setiap peringkat kepimpinan dan individu yang diberi amanah kekuasaan.

Hati-hati agar tidak terjebak dengan amalan rasuah, baik sebagai pemberi, penerima dan perantara.

Semoga Allah lindungi kita semua daripada fitnah kuasa. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -