Isu air: Kedah sedia bincang, Pulau Pinang bongkak

- Advertisement -

YAN: Kedah menawarkan perbincangan berkenaan caj air mentah sejak dahulu lagi dengan kerajaan Pulau Pinang namun mereka enggan berunding.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pulau Pinang mahu menafikan hak royalti penggunaan sumber air yang sepatutnya diperolehi Kedah.

“Adakah baru sekarang Pulau Pinang sedar air yang disedutnya berpunca daripada Sungai Muda di Kedah yang bakal dibangun dengan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).

“Projek itu dijangkakan dimulakan tahun ini. Silalah sedut air dari Sungai Muda di wilayah Pulau Pinang, dah kata sungai itu hak wilayah dia. Kacau Kedah buat apa.

- Advertisement -

“Saya bukan nak perang tetapi nak tuntut hak Kedah sahaja,” katanya selepas melawat mangsa ribut di Kampung Sungai Kering Yan semalam.

Pengumuman kerajaan Kedah mengenai projek TAPS di perairan Sungai Muda baru-baru ini menimbulkan tidak senang Ketua Menteri Pulau Pinang, Chew Kon Yeow.

Pada satu kenyataannya menurutnya Pulau Pinang akan membantah dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya projek itu dilaksanakan kerana dibimbangi boleh membawa masalah kepada penduduk negeri itu.

Oleh itu Sanusi berkata, kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan menjaga hal ehwal negerinya sendiri dan tidak cuba campur tangan urusan pembangunan di Kedah

“Apa saja yang kita nak buat di Kedah tak ada kaitan dengan mereka. Dia jaga negeri dia, saya jaga Kedah,” ujar beliau.

Menurutnya juga kerajaan Kedah tidak gentar sekiranya Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berkaitan isu tuntutan royalti sumber air.

Kata beliau, Kerajaan Kedah bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat dan sekiranya Pulau Pinang ada masalah berkaitan air itu kesilapan mereka sendiri.

Beliau juga berkata, Kedah sentiasa menjaga dan menghormati hak negeri jiran dan tetap berusaha memperolehi hak sewajarnya.

“Kita tawar rundingan banyak kali dah. Pihak saya bersedia 24 jam untuk berbincang. Tetapi pemimpin DAP Pulau Pinang ini, contohnya Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy nampak bongkak sangat.

“Kalau dah kata depa sedut ayaq dari Sungai Muda wilayah dia, sedutlah. Habaq ayaq selut pun depa tak reti. Kita habaq lama dah,” tegasnya.

Kata Sanusi lagi, sekiranya Pulau Pinang membayar royalti atau caj bekalan air mentah, Kedah akan menjaga sebaiknya tadahan dan pengairan sebagai pertimbangan kepentingan negeri itu. – HARAKAHDAILY 26/3/2021

- Advertisement -