Malam pun hantar air ke rumah penduduk

- Advertisement -

ARAU: Sehingga sekarang penduduk di beberapa kampung di Dun Sanglang sering berdepan dengan gangguan bekalan air.

Antara puncanya kerana sering berlaku paip pecah sehingga menyebab bekalan air tidak sampai ke rumah pengguna.

Antara penduduk yang terjejas di Kampung Padang Keria, Kampung Permatang Limau Manis, Kampung Padang Gelam dan Kampung Permatang Pianggu.

Kejadian itu berlaku sejak Isnin lepas sehingga menyebabkan Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli terpaksa menyediakan lori dan pacuan empat roda bagi mengagih bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

- Advertisement -

Katanya tumpuan diberi kepada rumah penduduk yang mempunyai pesakit terlantar dan uzur.

“Kita lebih mengutamakan rumah yang dilihat kritikal seperti yang ada pesakit yang terlantar dan uzur. Agihan air dihantar terus ke rumah mereka termasuk pada waktu malam.

“Petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Sanglang dengan kerjasama Syarikat Air Perlis (SAP) membekalkan air ke kawasan yang terputus bekalan sejurus kejadian tersebut berlaku,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap kerajaan dapat segera menukar paip lama kepada paip baharu agar masalah paip pecah tidak berulang lagi.

Mohd Shukri turut berharap penduduk di kawasan terlibat tidak terpengaruh dengan pihak yang mengambil kesempatan memutar belit isu tersebut.

“Saya telah berhubung dengan Syarikat Air Perlis supaya segera mencari punca terjadinya situasi ini yang dilihat sering kali berlaku.

“Kita berharap agar mereka dapat mengetahui punca yang berlaku seterusnya menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -