Bot nelayan asing tunggu masa ceroboh perairan negara

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Dua bot dan 19 nelayan Vietnam ditahan kerana menceroboh serta menangkap ikan di perairan negara secara haram dalam kejadian berasingan semalam.

Kedua-dua bot ditahan pada jarak 58 dan 78 batu nautika daripada Muara Tok Bali jam 10.23 pagi dan 12.19 tengahari.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan dalam tempoh dua jam oleh KM Amanah ketika menjalankan operasi Op Kuda Laut di perairan Kelantan.

- Advertisement -

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk 1.2 tan ikan campur dan ikan baja, 21,000 liter minyak diesel serta peralatan menangkap ikan bernilai RM2.5 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.

Menurutnya juga proses membawa kedua-dua bot berkenaan ke Jeti Maritim Kelantan mengambil masa 22 jam dalam keadaan laut mencabar dengan ketinggian ombak mencech 4.5 meter.

Kata beliau kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 setiap krew.

Mereka juga akan dituduh di bawah Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Muhd Nur Syam juga berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pengail-pengail ikan untuk mendapatkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Malah katanya banyak terdapat bot nelayan asing sekarang berada di perairan antarabangsa bagi menunggu masa untuk masuk ke perairan negara secara haram.

“Ini berdasarkan penahanan sebuah kapal tangki dan sebuah bot nelayan Vietnam Jumaat lepas,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -