PUM junjung kasih Sultan tegas isu kalimah Allah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menjunjung kasih di atas titah Sultan negeri-negeri yang menzahirkan penegasan mempertahankan kalimah Allah.

Antaranya titah Sultan Johor yang meminta kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan isu tersebut.

Yang Dipertua PUM, Dato’ Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, PUM dan umat Islam di negara ini turut menjunjung kasih di atas titah Sultan Selangor yang menyatakan dengan tegas melarang sama sekali penggunaan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan bukan Islam (Kristian).

- Advertisement -

Katanya, PUM percaya titah yang dizahirkan baginda amat bermakna bagi umat Islam di negara ini.

“Sebagai ketua agama bagi negeri-negeri, sudah tentu titah DYMM Sultan-Sultan dapat mengukuhkan usaha bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada kenyataan kelmarin Sultan Selangor menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan buku atau tulisan agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali di negeri itu.

Pada 17 Mac lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Muslim dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Menteri Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Syeikh Abdul Halim juga berkata, PUM melihat kalimah Allah adalah suatu yang khusus untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa bagi masyarakat Muslim.

Dari sudut Bahasa Arab, kata nama itu bersifat ma’rifah, yang boleh difahami dalam bahasa Inggeris sebagai kata nama yang bersifat definite.

“PUM ingin menegaskan bahawa kalimah Allah adalah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, berasaskan wahyu Allah di dalam al-Quran melalui Surah al-Ikhlas.

“Ia merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang diimani oleh umat Islam,” ujarnya.

Malah menurutnya PUM Pusat menyokong tindakan proaktif Jabatan Mufti Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah sejak 2008 yang mewartakan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ia sebagaimana nas fatwa “Bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

“Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Kata beliau PUM menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap kes tersebut bagi memperjuangkan bahawa kalimah Allah perlu dikekalkan kepada masyarakat Muslim dan tidak digunakan sewenang-wenang pihak lain. – HARAKAHDAILY 24/3/2021

- Advertisement -